Carian

Kisah MEMALI

Thursday, September 30, 2010

Lim: Pendedahan RM5 juta beli ADUN betul


Susan Loone
Sep 30, 10
4:06pm



Dua tahun sudah berlalu dan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee masih menunggu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan yang dibuatnya mendakwa ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah kepada BN.

Bagaimanapun, Lim berkata beliau tidak akan 'mengejar' SPRM supaya bertindak kerana adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghubungi beliau atau bertindak apabila siasatan mereka selesai.

azlan"Saya telah berikan segala butiran dan menyerahkan semua bukti kepada pegawai Suruhanjaya, jadi terpulang untuk mereka bertindak sekarang,” katanya.

Lim berkata beliau telah berjumpa beberapa pegawai Suruhanjaya itu, daripada pengarah kepada pegawai penyiasat, tetapi sehingga sekarang belum mendapat sebarang khabar.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pegawai yang beliau berhubungan tetapi mendakwa sesetengah daripada mereka telah dipindahkan ke cawangan lain selepas beliau membuat laporan.

Malaysiakini masih belum mendapat pengesahan berhubung perkara itu daripada SPRM.

Lim juga mengesahkan artikel terbaru oleh penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung beberapa kertas siasatan mengenai laporannya ke SPRM sebagai benar.

Kertas berjudul 'Laporan Siasatan Awal' (No. 11/2008) dikeluarkan oleh SPRM cawangan Seberang Perai dan ditandatangani oleh seorang pegawai kanan, Mahani Din bertarikh 10 Disember, 2008.

mahadzir khalidMenurut laporan itu, siasatan dipercayai tertumpu kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahazir Khalid (kanan) dan 'orang tengahnya' Tan Yak Siew.

Menurut laporan itu lagi, pada 9 September 2008, sebuah mesyuarat diadakan di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Perai, antara Lim and Mahazir.

Mahazir didakwa mengesahkan bahawa beliau akan membayar RM5 juta kepada Lim (untuk berpaling tadah) dan sekiranya beliau menuntut bayaran lebih, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan itu, Lim, yang sekarang ini exco kerajaan negeri Kedah dimaklumkan bahawa beliau akan ditawarkan 'beberapa projek' jika menyertai BN.

Sebelum ini, timbul ura-ura bahawa Lim, bersama beberapa ADUN PKR yang lain - Tan Show Kang (Sidam), S Manikumar (Bukit Selambau) - dan ADUN DAP Lee Guan Aik (Kota Darulaman), akan berpaling tadah.

Penyelewengan Felda bukti Umno khianat Melayu


Harakah Daily, KUALA LUMPUR, 30 Sept: Kemenangan peneroka Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda membuktikan bahawa badan berkanun yang dikuasai Umno itu adalah benar-benar pengkhianat Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak), Salahuddin Ayub berkata ianya juga menjelaskan lagi bahawa sememangnya berlaku penyelewengan dan penipuan biarpun dinafikan berkali-kali pihak Felda.

"Kemenangan peneroka Felda baru-baru ini memang menampakkan penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa (oleh) Felda ke atas peneroka."

"Kalau benar Umno mengatakan bahawa mereka adalah pejuang Melayu, 99.9 peratus peneroka yang terbabit adalah peneroka-peneroka Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau mengulas kemenangan kes 10 peneroka dari Felda Sungai Koyan 2 dan 3 semalam.

Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memutuskan Felda perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka tersebut yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.

Dalam kes sebelum itu juga, Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Felda menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan ekoran Felda memanipulasi  penggredan kelapa sawit.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS Pusat berkata, tindakan Felda menipu peneroka tidak ubah seperti bau busuk yang sedang melanda Felda.

Beliau juga yakin dan percaya, Felda sedang berdepan laluan sukar apabila satu demi satu penyelewengan terhadap peneroka mula terdedah.

Turut serta pada sidang media sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Peguam Mohamed Hanipa Maidin.
Di penghujung sidang media itu, beliau juga merayu kepada Felda agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam, sebaliknya membayar terus kepada peneroka.

Pengenalan Diri (siri 2: Kerjaya professional dalam bidang sukan)

KERJAYA

Untuk perhatian pembaca sebelum ini saya adalah seorang Pakar Kesihatan dan Kecergasan di beberapa pusat kecergasan dan badan sukan tertentu sebagai penasihat dan jururunding kecergasan. Pernah berkhidmat di Unit Terapi Kecergasan, Institut Sukan Negara dibawah seliaan Mr Jorg Taichmen seorang pakar terapi kecergasan daripada Jerman yang telah banyak menunjuk ajar saya dalam berhadapan dengan atlit peringkat dunia.

Gambar ketika bersama Fitness First

Selepas itu, saya telah mendapat tawaran bekerja di sektor swasta dalam bidang berkaitan seperti di Celebrity Fitness sebelum mendapat tawaran yang lebih baik di Fitness First. Di sana saya telah menjadi pakar rujuk untuk kes-kes ahli yang menghadapi kecederaan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat dan program rehabilitasi selepas kecederaan.

Gambar kenangan ketika bersama PKNS FC

Sedang saya meniti hirarki posisi di Fitness First, tawaran menjadi Jurulatih Kecergasan merangkap Terapi Sukan untuk pasukan Bolasepak PKNS FC tidak saya lepaskan walaupun dalam masa yang sama mendapat tawaran biasiswa daripada universiti tempatan untuk program pensyarah muda di sebuah universiti di Australia. Sebenarnya memang menjadi idaman saya sejak dahulu lagi untuk bekerja secara langsung dalam industri sukan prestasi tinggi secara professional terutama sukan bolasepak yang sangat saya suka.

Pengalaman bermain bolasepak sehinggat ke peringkat kebangsaan sewaktu zaman persekolahan dahulu sedikit sebanyak membuatkan saya sangat menghargai kerjaya saya ketika itu. Lantaran selepas 1 musim di PKNS FC saya telah berhijrah ke Pasukan Liga Super Selangor sebagai Ketua di Unit Rehabilitasi Sukan. Begitulah serba sedikit latarbelakang saya sebelum saya meneruskan perbincangan kita.

Semasa bersama dengan FAS sebagai Ketua Unit Rehabilitasi dan Sukan.

MRI dan Lutut Akmal Rizal semasa mula-mula menyertai Pasukan Selangor.

Kemasukan Akmal Rizal dan Safee Sali dalam pasukan Liga Super Selangor pada tahun 2006/07 memang sangat mengujakan peminat pasukan Gergasi Merah ini. Namunbegitu, mereka tidak dapat memulakan aksi pada awal musim kerana mereka masih dalam keadaan cedera akibat bersama pasukan lampau. Akmal Rizal sudah hampir 7-8 bulan cedera beberapa bahagian di lutut, peha dan buku lali. Program rehabilitasi yang kurang sempurna mungkin punca beliau tidak dapat beraksi lagi. Justeru, saya ditugaskan untuk memastikan Akmal boleh beraksi sebelum sepak mula perlawanan pertama. Namun, setelah mendapatkan beberapa nasihat dan berdasarkan ujian yang dilakukan nyata Akmal tidak mampu pulih 80% sebelum mula kempen liga musim itu. Saya mohon 12 minggu 'Fully Rehabilitation Program'.
 Begitu juga Safee Sali yang menyertai Selangor dengan kaki tempang (kecedera lutut). Safee baru sahaja melalui pembedahan 'ACL Reconstruction' kaki kirinya 3 minggu sebelum bersama skuad Selangor.

Kedua-dua pemain ini adalah nama besar dalam industri bolasepak tempatan ketika itu. Mereka juga adalah gandingan pasukan kebangsaan. Justeru, tekanan yang saya terima sebenarnya sangat menekan. Dari satu sudut peringkat pengurusan FAS mahukan pemain segera beraksi dalam liga Super yang telah berjalan tanpa kelibat pemain import seperti yang dimahukan oleh Dato Presiden FAS yang juga MB ketika itu iaitu Khir Toyo dengan keyakinan dapat mencungkil bakat pemain tempatan kononnya yang akhirnya memaksa sekalian susuk staf FAS bertungkus lumus selama 6 minggu berturut-turut menerokai seluruh pelosok negeri untuk mendapatkan pemain dari kalangan rakyat jelata. Akhirnya dapatlah Soffan (penyerang yang jarang berakhir dan tidak disambung perkhidmatan) dan Bob adik Azizul juga tidak disambung kontrak mereka.
Dari sudut lain pula pihak FAM juga senantiasa memerhatikan perkembangan status proses pemulihan kedua-dua 'superstar' ini. Alhamdullillah berkat dedikasi, disiplin, tahap profesional dan kerjasama mereka akhirnya Safee Sali mula beraksi di pertengahan musim bermula sebagai pemain simpanan. Kemudian secara progresif dia menjadi pengerun utama di bahagian serangan Gergasi Merah. Begitu juga Akmal yang akhirnya mula menampakkan jagoannya seawal kempen Piala Malaysia musim tersebut.

Kesimpulannya, memastikan mereka berdua berjaya beraksi semula bukan lah suatu kerja mudah. Tetapi melihat kelibat mereka mula menjaringkan gol benar-benar buat saya rasa puas.


Bersama dengan Azlisham Eb Rahim (Abg Boy), bekas penjaga gol kebangsaan dan menjadi Jurulatih Penjaga Gol Pasukan Selangor. Beliau seorang yang kuat kerja serta 'Happy Go Lucky'....tapi, kalau ada bahan memang boleh menangis kena kutuk dengan dia.

Di Bandar Seri Begawan sebelum perlawanan menentang pasukan Brunei bersama Amirul Hadi Zainal (Kanchong) dan Razman Roslan.

Bersama dengan Anuar Abu Bakar merupakan Penolong Jurulatih dan menjadi 'Super-Sub Legend' kerana dikenali sebagai pemain gantian yang akan menjaringkan gol bila masuk padang. Pernah berbual dari hati-ke-hati, anak kelahiran Muar ini memaklumkan kepada saya bahawa memang sepanjang karier beliau jarang menjaringkan gol sekiranya dimasukkan sebagai pemain kesebelasan utama. Tetapi, sekiranya dimasukkan sebagai pemain gantian purata 99% akan jaringkan gol.

Ketika sedang beraksi di padang.

Menyediakan dan mempersiapkan pemain agar sepenuhnya pada kadar siap siaga.

Frank Seator menjadikan saya sebagai perunding peribadi dimana beliau mendapatkan khidmat nasihat penjagaan fizikal,kesihatan, pemakanan dan segala berkaitan demi untuk meningkatkan prestasinya. Ketika ini beliau masih bermain di Liga UAE dan kami masih berhubung.

Bersama Shukor Adan, Safee Sali, Indra Putra Mahyudin serta Abd Ghani Abd Rahman.

Akhirnya, bersama idola Satu Malaya En Dollah Salleh dan beliau adalah Ketua Jurulatih merangkap abang kepada saya yang banyak memberikan nasihat berkaitan kehidupan sama ada sebagai staf profesional mahupun sebagai suami dan bapa. Terima kasih saya ucapkan yang tiada tara kepada Abg Dollah.....

Pengenalan Diri (siri 1: Hari-hari membesar di Gerai Goreng Pisang)

Salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya. Memang telah lama saya mengimpikan untuk punyai laman blog sendiri. Namun, atas musabab kerja, tanggungjawab,  ruang masa dan pelbagai alasan lain menyebabkan impian ini bagai tiada penghujung. 

Menulis Blog bukanlah baru bagi saya kerna sebelum ini saya telah menaskahkan tulisan saya dalam Kolum ABS Cergas dari majalah Arena Bolasepak beberapa tahun sudah ke dalam laman blog http://abscergas.blogspot.com.

Selain itu, saya juga mencatatkan segala perkembangan perniagaan saya berkaitan sukan di http://galaksisukan.blogspot.com.

Jadi, setelah beberapa tahun keinginan untuk mempunyai blog personal itu tertangguh, maka tahun ini kata saya pada diri sendiri akan pastikan bahawa akan lahirlah blog peribadi yang bakal mengekspresikan segala pendapat dan nukilan berkaitan kehidupan, politik negara dan dunia, persada sukan tempatan dan antarabangsa dan sebagainya. Namunbegitu, blog ini akan secara progresifnya menekankan isu-isu semasa. Segala-gala tulisan ini akan berdasarkan daripada pembacaan, pemahaman, pengamatan dan pengalaman saya dalam menyelusuri kehidupan dewasa ini.

Justeru, sebelum saya sendiri mengupas isu-isu terkini, eloklah sekiranya para pembaca mengenali latarbelakang serba sedikit berkaitan diri saya yang bukan sepenuhnya sempurna.


Saya anak kelahiran Kluang, Johor yang dilahirkan pada bulan April tahun 1980 dengan daftar Jabatan Pendaftaran Negara sebagai MOHD ZAIHAN M ZAINAL yang kemudiannya dibesarkan di Kg Pasir Wardiburn, Setapak, Kuala Lumpur sehingga berumur 10 tahun sebelum ayahanda membuat perancangan untuk memulakan kehidupan baru di kampung halamannya. 

Negeri Johor tempat dilahirkan dan dibesarkan.

Ayahanda dikenali sebagai 'Pak Jos' oleh masyarakat setempat dan pernah bertugas di Klinik Kesihatan Parit Yusof sebelum pencen 'gomen' 5 tahun dulu. Beliau berasal dari Kg Sg. Sudah,  Mukim Sg Balang berdarah 'Bentan' dan tidak boleh jejakkan kaki di Istana Lama Johor di Kota Tinggi (sila rujuk sejarah Laksamana Bentan @ Sultan Mahmud mangkat dijulang). Sekarang, tugas utamanya adalah mengimarahkan surau Taman Semerah sehinggakan agak sukar bagiku untuk membawa beliau datang bercuti ke rumahku di kota metropolitan Kuala Lumpur ini. Beliau agak pendiam, cuma sekali-sekala berkata pasti padah jawabnya terutama bagi saya yang dibesarkan dengan gaya seorang anak lelaki 'hyperactive' mungkin....

Bonda pula adalah seorang yang sangat peramah dan sangat disenangi kebanyakan kenalannya. Panggilan 'Mak Odah' memang sinonim dengan kehangatan beliau ketika berbicara pelbagai isu berkaitan 'Ahli Mesyuarat Tingkap' yang saban hari diadakan di hadapan rumah atau di belakang tempat Bonda selalu memasak. Mak Odah ini memang pandai berniaga sejak dari kami tinggal di Kuala Lumpur dulu beliau mempunyai sebuah restoran Mee Bandung di susur Masuk Kg Pasir Wardiburn dulu. Kemasyuran masakan Mak Odah sangat dihargai sehingga pernah sebuah artikel berkaitan masakannya dan beliau dikeluarkan dalam akhbar tabloit yang popular sekitar 1980-an dulu iaitu akhbar Watan (tidak pasti samada ianya masih ada atau sudah lupus?) 

Bonda bersama Ayahanda semasa 1 Syawal lalu.

Selepas berpindah ke Taman Semerah tahun 1990, kehidupan kami berubah sedikit sederhana. Masakan tidak kalau dulu pendapatan bonda melalui restorannya sangat cukup untuk saya makan 'eskrim' Cornetto saban hari dan belanja permainan tanpa henti. Tetapi, kini kehidupan kami agak harus berhati-hati dalam berbelanja seharian. 

Bonda rasa bosan hanpir 2 tahun hidup hanya sebagai suri rumah dan mungkin darah usahawan yang ada dalam dirinya buatkan beliau mengambil inisiatif untuk berniaga kueh-mueh serta goreng pisang yang dimulakan pada tahun 1993 secara hobi akhirnya menjadi popular di Pekan Semerah. Saya turut membantu Bonda sepanjang tinggal dibawah payungnya. Setiap hari saya pulang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah dengan berjalan kaki pada jam 1.50ptg dan sampai rumah jam 2.30 petang. Mandi dan persiap diri kemudian saya akan menolak gerai bergerak Bonda yang sudah tersedia segala kelengkapan berniaga seperti payung besar, kuali, tong gas dan lain-lain lengkap tepat jam 2.45 ptg. Tiba di gerbang masuk Taman Semerah biasanya jam 3 ptg dan saya akan siapkan pasang payung, meja, panaskan kuali dan minyak. Jam 3.15 ptg akan segera masukkan pisang bersalut tepung ramuan asli Mak Odah kedalam kuali panas.

Kemudian, Mak Cik Lili akan tiba jam 3.30ptg menghantar kueh-muehnya (yang popular kueh lapis cokelat dan karipap pusing pujaan setiap pengunjung). Mak Cik Lili juga turut membantu. Selain itu, Pak Cik Md Noh juga menghantar kueh mueh buatan tangan isterinya (yang popular kueh kacang dan kueh koci).

Gerai itu saya namakan 'GP Corner'. Kadang-kadang menjadi tempat lepak rakan-rakan sebaya saya waktu itu berbekalkan gitar kapok dengan dendang lagu 'Rock Kapak'....arghhhh noltalgia.....

Jadual seterusnya, tepat jam 5.30 ptg saya akan pulang untuk mengambil Bonda untuk tukar 'shift' sebab saya perlu bersiap untuk latihan bolasepak. Tahun-tahun itu saya sangat dikelanali di sekitar Batu Pahat (dari Semerah-Simpang Lima-Parit Sulong-Peserai Batu Pahat-Tongkang Pechah dan lain-lain kawasan berkaitan) berdasarkan kemahiran dan kehebatan saya bermain bolasepak. Sehingga setakat masa itu, cita-cita saya yang utama adalah untuk menjadi pemain bolasepak professional. Seingat saya tidak pernah satu perlawanan tidak kira menang, kalah atau seri yang saya tidak menjaringkan gol (cewahhh...angkat bakul sendiri???).....Gaduh?....hehe kadang-kadang berlaku juga sebab panas baran jiwa remaja la katakan....
Logo SMK Semerah

Latihan dan bermain bolasepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah bersama pasukan Semerah FC yang dikendalikan oleh Pak Anjang Majid (bapa mertua kepada bekas penjaga gol kebangsaan iaitu Juraimi Hassan) sangat mengujakan sehingga satu tahap latihan petang-petang pun ramai yang menontonnya. Pak Anjang Majid mempunyai sebuah kedai besar menjadi satu-satunya Toko Buku milik bumiputera di kawasan sekitar. Kedainya bertempat berhadapan dengan Balai Polis. Tingkat atas kedainya dijadikan Bilik Gerakan, Pengurusan Semerah FC, serta dihiasi sebuah sudut sebagai Galeri mempamerkan gambar-gambar lama pasukan, diantara mereka yang pernah menjadi ahli pasukan adalah bekas pemain tengah kebangsaan iaitu Rizal Sukiman.

Setelah tamat bermain jam 7 ptg saya akan pulang dan terus membantu Bonda mengemas gerainya dan membawanya pulang. Begitulah, rutin harian saya setiap hari sewaktu menongkah zaman remaja dahulu. Bonda beri upah RM5 sehari. (wah...lumayan....) Biasanya saya akan kutip upah setiap minggu dan akan digunakan untuk membeli pelbagai keperluan atau barangan idaman saya. 

Namunbegitu, sedang rakan-rakan sebaya lain telah pun mempunyai motorsikal sendiri sama ada Suzuki RG, Yamaha Sports atau Yamaza RXZ atau pelbagai lagi jenama motor zaman itu. Saya masih lagi 'relax' dan 'cool' memandu motor Honda Bulat C70 ayahanda siap ada carrier untuk beliau angkat bakul pisang lagi. Cuma, bakul angkut pisang sahaja dicabut. (wah cool juga.....). Walau ada keinginan untuk memilikinya seperti remaja-remaja lain, saya simpan perasaan itu kerna faham akan erti tangungan ayahanda dan bonda. Tetapi, dalam diam-diam saya memasang cita-cita untuk memiliki lebih daripada sebuah motor 'kapcai' setiap hari di gerai GP Corner terutama ketika hari hujan tiada orang datang membeli dan payung besar mesti direndahkan agar ianya tidak tumbang. Saya memasang impian untuk memiliki sebuah empayar niaga yang besar dan jaya dan mahu jadi yang terbaik dalam lapangan niaga.
Logo ITM

Dan sejak itu saya berusaha ke arah itu. Habis SPM terus melanjutkan pelajaran di ITM ketika itu sebelum saya turut berjuang dalam menaiktaraf ITM kepada universiti. Sehingga tamat zaman universiti, saya sangat aktif dalam politik kampus. 

Logo UiTM dan pengertiannya.



Wednesday, September 29, 2010

Ahli pulau mesyuarat agung PKR Parit Sulong


Abdul Rahim Sabri
Sep 26, 10
4:15pm


Malaysiakini, Mesyuarat agung Cabang PKR Parit Sulong, Johor pagi ini tergendala apabila sekumpulan ahli bertindak memulaukannya.

hasmi hashim pkr keadilan pemuda 180407 talkingMereka bertindak demikian antaranya kerana meragui tindakan mengadakan mesyuarat itu di rumah salah seorang calon yang bertanding untuk jawatan ketua cabang tersebut.

Penyandang jawatan tersebut, Hasmi Hashim, ketika dihubungi Malaysiakinipetang ini, mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, kira-kira 20 orang perwakilan membantah mesyuarat itu diadakan di kediaman timbalan pengerusi tetap cabang itu, Alias Samsir yang turut bertanding jawatan ketua cabang.

Difahamkan, mereka yang memulaukan mesyuarat itu adalah penyokong Hasmi.

Selain itu, katanya, mereka juga tidak puas hati dengan cara notis panggilan mesyuarat, yang didakwa melanggar etika dan perlembagaan parti itu.

Katanya, ia kerana notis tersebut - yang dikeluarkan pihak pusat - sepatutnya ditandatangani oleh setiausaha cabang berkenaan.

Bagaimanapun, Hasmi mendakwa, surat tersebut diedarkan kepada ahli-ahli tanpa terlebih dahulu ditandatangani oleh setiausaha berkenaan.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan pelanggaran etika dan perlembagaan parti. Sekiranya kita hadir seolah-olah kita bersetuju dengan tindakan itu," katanya.

Hasmi berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pengerusi PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng dan beberapa anggota jawatankuasa pemilihan pusat.

Katanya, Dr Chua memberitahunya bahawa akan memanjangkan bantahan tersebut kepada jawatankuasa pemilihan pusat.

Ulasan Sivarasa Mengenai kekecohan yang berlaku di Cabang Subang

Regina Lee
Sep 30, 10
12:34pm

Malaysiakini, Mesyuarat agung tahunan cabang PKR Subang minggu lalu sebegitu kecoh dengan ada beberapa pihak yang bertengkar dan bergaduh sehingga semua pihak tertanya-tanya sehingga hari ini sama ada ahli parlimen Subang, R Sivarasa gagal mempertahankan jawatan ketua cabangnya.

Bagaimanpun, peguam veteran itu, tampil diMalaysiakini, semalam untuk memberikan versi ceritanya mengenai apa yang berlaku pada hari Ahad lalu.

Katanya, tidak ada pemilihan yang sah berlangsung pada AGM yang huru-hara itu dan mempertahankan bahawa ia dicemari pelbagai dakwaan penipuan bermula dengan penerimaan kertas undi yang mencurigakan.

"Terdapat pelbagai kesilapan. Sesetengah nama yang sepatutnya berada di senarai tidak ada manakala nama yang tidak sepatutnya pula muncul. Senarai yang digunakan penuh bermasalah,” katanya.

Namun, mesyuarat diteruskan mengikut agenda yang ditetapkan termasuk pencalonan pemimpin peringkat pusat PKR.

"Tetapi ia tidak teratur. Pengerusi gagal mengawal perjalanan mesyuarat dan ia tidak dapat diteruskan, “ kata Sivarasa sambil mendakwa beliau mendapat 158 undi dalam pengiraan awal untuk jawatan ketua cabang yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Menurutnya, secara tetiba, seseorang ahli kemudiannya membuat bantahan dan menuntut kiraan semula dijalankan. Apabila ini dijalankan kelebihan undinya merosot secara misteri dan Sivarasa hanya mendapat 121 undi.

"Adalah jelas, kita tidak dapat teruskan mesyuarat, malah tiga lagi calon yang lain juga meminta ia ditangguhkan,” katanya.

Mereka kemudiannya menghubungi ahli jawatankuasa pemilihan parti, Sabaruddin Md Yasin yang bertindak mengisytiharkan mesyuarat itu ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan.

"Kami kemudiannya meninggalkan tempat mesyuarat tetapi dimaklumkan seorang calon dan penyokongnya meneruskan mesyuarat dan membuat kiraan undi serta meminta ahli-ahli supaya terus mengundi.

"Ahli cabang juga ditakut-takutkan secara fizikal dan dalam keadaan itu mereka bertindak tidak 'mengundi' saya. Calon ini kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang, “ kata Sivarasa.

"Mereka tidak mematuhi peraturan dan malah mengancam pemantau pemilihan yang kemudiannya membuat laporan polis.

"Ini tidak lain daripada tindakan bodoh dan samseng daripada sesetengah ahli,” katanya sambil menambah bahawa tindakan disiplin mesti diambil ke atas mereka.

Meskipun tidak menafikan hakikat mungkin terdapat eleman 'kuda trojan' di cabangnya, Sivarasa berberkata masalah utama adalah sikap samseng yang ditunjukkan oleh pencabarnya itu.

“Mereka tidak puas hati jika kalah,” katanya.

Sivarasa akan membuat aduan rasmi kepada ibu pejabat PKR hari ini.