Carian

Kisah MEMALI

Thursday, September 30, 2010

Pengenalan Diri (siri 1: Hari-hari membesar di Gerai Goreng Pisang)

Salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya. Memang telah lama saya mengimpikan untuk punyai laman blog sendiri. Namun, atas musabab kerja, tanggungjawab,  ruang masa dan pelbagai alasan lain menyebabkan impian ini bagai tiada penghujung. 

Menulis Blog bukanlah baru bagi saya kerna sebelum ini saya telah menaskahkan tulisan saya dalam Kolum ABS Cergas dari majalah Arena Bolasepak beberapa tahun sudah ke dalam laman blog http://abscergas.blogspot.com.

Selain itu, saya juga mencatatkan segala perkembangan perniagaan saya berkaitan sukan di http://galaksisukan.blogspot.com.

Jadi, setelah beberapa tahun keinginan untuk mempunyai blog personal itu tertangguh, maka tahun ini kata saya pada diri sendiri akan pastikan bahawa akan lahirlah blog peribadi yang bakal mengekspresikan segala pendapat dan nukilan berkaitan kehidupan, politik negara dan dunia, persada sukan tempatan dan antarabangsa dan sebagainya. Namunbegitu, blog ini akan secara progresifnya menekankan isu-isu semasa. Segala-gala tulisan ini akan berdasarkan daripada pembacaan, pemahaman, pengamatan dan pengalaman saya dalam menyelusuri kehidupan dewasa ini.

Justeru, sebelum saya sendiri mengupas isu-isu terkini, eloklah sekiranya para pembaca mengenali latarbelakang serba sedikit berkaitan diri saya yang bukan sepenuhnya sempurna.


Saya anak kelahiran Kluang, Johor yang dilahirkan pada bulan April tahun 1980 dengan daftar Jabatan Pendaftaran Negara sebagai MOHD ZAIHAN M ZAINAL yang kemudiannya dibesarkan di Kg Pasir Wardiburn, Setapak, Kuala Lumpur sehingga berumur 10 tahun sebelum ayahanda membuat perancangan untuk memulakan kehidupan baru di kampung halamannya. 

Negeri Johor tempat dilahirkan dan dibesarkan.

Ayahanda dikenali sebagai 'Pak Jos' oleh masyarakat setempat dan pernah bertugas di Klinik Kesihatan Parit Yusof sebelum pencen 'gomen' 5 tahun dulu. Beliau berasal dari Kg Sg. Sudah,  Mukim Sg Balang berdarah 'Bentan' dan tidak boleh jejakkan kaki di Istana Lama Johor di Kota Tinggi (sila rujuk sejarah Laksamana Bentan @ Sultan Mahmud mangkat dijulang). Sekarang, tugas utamanya adalah mengimarahkan surau Taman Semerah sehinggakan agak sukar bagiku untuk membawa beliau datang bercuti ke rumahku di kota metropolitan Kuala Lumpur ini. Beliau agak pendiam, cuma sekali-sekala berkata pasti padah jawabnya terutama bagi saya yang dibesarkan dengan gaya seorang anak lelaki 'hyperactive' mungkin....

Bonda pula adalah seorang yang sangat peramah dan sangat disenangi kebanyakan kenalannya. Panggilan 'Mak Odah' memang sinonim dengan kehangatan beliau ketika berbicara pelbagai isu berkaitan 'Ahli Mesyuarat Tingkap' yang saban hari diadakan di hadapan rumah atau di belakang tempat Bonda selalu memasak. Mak Odah ini memang pandai berniaga sejak dari kami tinggal di Kuala Lumpur dulu beliau mempunyai sebuah restoran Mee Bandung di susur Masuk Kg Pasir Wardiburn dulu. Kemasyuran masakan Mak Odah sangat dihargai sehingga pernah sebuah artikel berkaitan masakannya dan beliau dikeluarkan dalam akhbar tabloit yang popular sekitar 1980-an dulu iaitu akhbar Watan (tidak pasti samada ianya masih ada atau sudah lupus?) 

Bonda bersama Ayahanda semasa 1 Syawal lalu.

Selepas berpindah ke Taman Semerah tahun 1990, kehidupan kami berubah sedikit sederhana. Masakan tidak kalau dulu pendapatan bonda melalui restorannya sangat cukup untuk saya makan 'eskrim' Cornetto saban hari dan belanja permainan tanpa henti. Tetapi, kini kehidupan kami agak harus berhati-hati dalam berbelanja seharian. 

Bonda rasa bosan hanpir 2 tahun hidup hanya sebagai suri rumah dan mungkin darah usahawan yang ada dalam dirinya buatkan beliau mengambil inisiatif untuk berniaga kueh-mueh serta goreng pisang yang dimulakan pada tahun 1993 secara hobi akhirnya menjadi popular di Pekan Semerah. Saya turut membantu Bonda sepanjang tinggal dibawah payungnya. Setiap hari saya pulang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah dengan berjalan kaki pada jam 1.50ptg dan sampai rumah jam 2.30 petang. Mandi dan persiap diri kemudian saya akan menolak gerai bergerak Bonda yang sudah tersedia segala kelengkapan berniaga seperti payung besar, kuali, tong gas dan lain-lain lengkap tepat jam 2.45 ptg. Tiba di gerbang masuk Taman Semerah biasanya jam 3 ptg dan saya akan siapkan pasang payung, meja, panaskan kuali dan minyak. Jam 3.15 ptg akan segera masukkan pisang bersalut tepung ramuan asli Mak Odah kedalam kuali panas.

Kemudian, Mak Cik Lili akan tiba jam 3.30ptg menghantar kueh-muehnya (yang popular kueh lapis cokelat dan karipap pusing pujaan setiap pengunjung). Mak Cik Lili juga turut membantu. Selain itu, Pak Cik Md Noh juga menghantar kueh mueh buatan tangan isterinya (yang popular kueh kacang dan kueh koci).

Gerai itu saya namakan 'GP Corner'. Kadang-kadang menjadi tempat lepak rakan-rakan sebaya saya waktu itu berbekalkan gitar kapok dengan dendang lagu 'Rock Kapak'....arghhhh noltalgia.....

Jadual seterusnya, tepat jam 5.30 ptg saya akan pulang untuk mengambil Bonda untuk tukar 'shift' sebab saya perlu bersiap untuk latihan bolasepak. Tahun-tahun itu saya sangat dikelanali di sekitar Batu Pahat (dari Semerah-Simpang Lima-Parit Sulong-Peserai Batu Pahat-Tongkang Pechah dan lain-lain kawasan berkaitan) berdasarkan kemahiran dan kehebatan saya bermain bolasepak. Sehingga setakat masa itu, cita-cita saya yang utama adalah untuk menjadi pemain bolasepak professional. Seingat saya tidak pernah satu perlawanan tidak kira menang, kalah atau seri yang saya tidak menjaringkan gol (cewahhh...angkat bakul sendiri???).....Gaduh?....hehe kadang-kadang berlaku juga sebab panas baran jiwa remaja la katakan....
Logo SMK Semerah

Latihan dan bermain bolasepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah bersama pasukan Semerah FC yang dikendalikan oleh Pak Anjang Majid (bapa mertua kepada bekas penjaga gol kebangsaan iaitu Juraimi Hassan) sangat mengujakan sehingga satu tahap latihan petang-petang pun ramai yang menontonnya. Pak Anjang Majid mempunyai sebuah kedai besar menjadi satu-satunya Toko Buku milik bumiputera di kawasan sekitar. Kedainya bertempat berhadapan dengan Balai Polis. Tingkat atas kedainya dijadikan Bilik Gerakan, Pengurusan Semerah FC, serta dihiasi sebuah sudut sebagai Galeri mempamerkan gambar-gambar lama pasukan, diantara mereka yang pernah menjadi ahli pasukan adalah bekas pemain tengah kebangsaan iaitu Rizal Sukiman.

Setelah tamat bermain jam 7 ptg saya akan pulang dan terus membantu Bonda mengemas gerainya dan membawanya pulang. Begitulah, rutin harian saya setiap hari sewaktu menongkah zaman remaja dahulu. Bonda beri upah RM5 sehari. (wah...lumayan....) Biasanya saya akan kutip upah setiap minggu dan akan digunakan untuk membeli pelbagai keperluan atau barangan idaman saya. 

Namunbegitu, sedang rakan-rakan sebaya lain telah pun mempunyai motorsikal sendiri sama ada Suzuki RG, Yamaha Sports atau Yamaza RXZ atau pelbagai lagi jenama motor zaman itu. Saya masih lagi 'relax' dan 'cool' memandu motor Honda Bulat C70 ayahanda siap ada carrier untuk beliau angkat bakul pisang lagi. Cuma, bakul angkut pisang sahaja dicabut. (wah cool juga.....). Walau ada keinginan untuk memilikinya seperti remaja-remaja lain, saya simpan perasaan itu kerna faham akan erti tangungan ayahanda dan bonda. Tetapi, dalam diam-diam saya memasang cita-cita untuk memiliki lebih daripada sebuah motor 'kapcai' setiap hari di gerai GP Corner terutama ketika hari hujan tiada orang datang membeli dan payung besar mesti direndahkan agar ianya tidak tumbang. Saya memasang impian untuk memiliki sebuah empayar niaga yang besar dan jaya dan mahu jadi yang terbaik dalam lapangan niaga.
Logo ITM

Dan sejak itu saya berusaha ke arah itu. Habis SPM terus melanjutkan pelajaran di ITM ketika itu sebelum saya turut berjuang dalam menaiktaraf ITM kepada universiti. Sehingga tamat zaman universiti, saya sangat aktif dalam politik kampus. 

Logo UiTM dan pengertiannya.



No comments:

Post a Comment