Carian

Kisah MEMALI

Friday, October 8, 2010

Perjuangan Chin Peng: Dari Kacamata Mantan Ketua Pengarang, Utusan Melayu (perlu dibaca!!)

SETIAUSAHA AGUNG PARTI KUMUNIS MALAYA DARI PANDANGAN BAPAK SAID ZAHARI

"Chin Peng lahir di bumi Malaya. Dia lahir di satu tempat, namanya Setiawan. Setiawan ini adalah sebahagian daripada bumi Malaya. Kalau dia lahir di bumi Malaya, maka dia adalah bumiputera Malaya..."
Demikianlah hujah yang dianggap paling kukuh untuk mengulas isu kepulangan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) ke tanahair Malaysia, dari mulut bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari (gambar kanan).
Untuk tokoh kewartawanan ini, tidak timbul soal sama ada Chin Peng boleh balik atau tidak. "(adalah) Hak Chin Peng untuk balik. Bukan (soal) dia boleh atau tidak. Dari segi undang-undang, tak ada seorang yang boleh mengatakan Chin Peng tak ada hak (untuk) balik (ke tanahair). Tanahair Chin Peng bukan China, bukan Taiwan, bukan Hong Kong. But it is inSetiawan," tegas Said Zahari.
"Bumiputera?" tanya wartawan MerdekaReview untuk mendapatkan kepastian. Dengan lantas dan lantang, Said Zahari membalas, "Ya! Undang-undang dunia mana sekali pun, di mana awak lahir, di situlah tanahair."
Said Zahari mengibaratkan bahawa seandainya diri beliau dilahirkan di Kuala Lumpur misalnya, dan Chin Peng pula dilahirkan di Setiawan, "...kedua-duanya di tanah Melaya. Saya bumiputera tanah bumi ini. Mengapa mahu buat Chin Peng bukan bumiputera? Kalau datuknya bukan bumiputera saya setuju...tapi...(tidak bersetuju dalam kes Chin Peng)."
Malah, Said Zahari yang lebih dikenali sebagai Pak Said ini sambil berseloroh menambah, "Yang penting, kalau mereka (yang menentang kepulangan Chin Peng) dapat buktikan Chin Peng bukan lahir di Setiawan, dia lahir di Tiananmen, itu cerita lain."
Tandatangan Chin Peng diterima
Said Zahari (gambar kiri) memperkukuhkan hujahnya untuk menolak alasan bahawa Chin Peng tidak memiliki dokumen kelahiran untuk membuktikan dirinya warga negara Malaysia, dengan mendakwa bahawa kesediaan kerajaan untuk berunding dengan Chin Peng, dalam kedua-dua Rundingan Baling dan Perjanjian Damai Haadyai, jelas menunjukkan bahawa kedudukan Chin Peng telah diiktiraf.
"Apabila kerajaan Malaya, mengakui mahu berunding dengan Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian (pada) tahun 1955, saya ada di situ. Itu sudah menunjukkan kita mengakui bahawa mereka ini rakyat Malaya yang memperjuangkan sesuatu. Tambah pula, Perjanjian Pendamaian Haadyai tahun 1989, itu bukti yang lebih besar," katanya.
Beliau mempersoalkan, "apa lagi yang kamu (mereka yang menentang kepulangan Chin Peng) mahu? Kalau kamu sudah boleh terima Chin Peng punya signature (tandatangan) sebagai satu perjanjian yang membawa kepada pendamaian antara rakyat di Malaya, apa bukti yang you mahu? Apakah you masih insist dia bukan rakyat jelata? Kita sudah zalim..."
Said Zahari menjelaskan "hak" Chin Peng (gambar kanan) yang dimaksudkannya termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan secara amnya, dan Perjanjian Damai Haadyai secara khususnya. Perjanjian Damai Haadyai yang dimeterai antara pihak PKM, kerajaan Malaysia dengan kerajaan Thai membenarkan anggota PKM untuk kembali ke Malaysia selepas pasukan bersenjata PKM dibubarkan.
Walau bagaimanapun, hasrat Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya tidak kesampaian apabila kedua-dua orang Perdana Menteri, Najib Abdul Razak dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin telah menolak permintaan Chin Peng tersebut secara terbuka. Isu ini bertambah hangat apabila sesetengah bekas perajurit turut mendesak agar pemimpin komunis ini tidak dibenarkan menjejak kaki ke Malaysia.
Pada tahun 1955, Said Zahari yang berusia 27 tahun ketika itu, berada di Baling sebagai salah seorang wartawan yang membuat liputan untuk rundingan bersejarah antara PKM dengan Tunku Abdul Rahman, yang menyandang jawatan PM pertama kemudiannya.
Bekas Ketua Pengarang yang pernah memimpin permogokan menentang pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO pada tahun 1961, juga adalah mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun. Beliau kini berusia 81 tahun, menerima wawancara MerdekaReview untuk berkongsi pandangan beliau dalam isu kepulangan Chin Peng.

"Buta sejarah", demikianlah label yang dilontarkan terhadap generasi muda yang cuba mengangguk kepada kepulangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanahair. Pada masa yang sama, mereka yang sedia untuk memberi laluan atas dasar perikemanusiaan, dipertikaikan sebaliknya sama ada "Chin Peng yang tidak perikemanusiaan" ini layak untuk menerima layanan "perikemanusiaan".
Namun demikian, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari (gambar kanan) tetap dengan pendirian bahawa Chin Peng berhak untuk pulang ke tanahairnya, Malaysia. Tokoh kewartawanan ini berada di tempat kejadian pada usia 27 tahun, menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana Rundingan Baling diadakan pada tahun 1955.
Beliau bertanggapan bahawa isu kepulangan Chin Peng ini bukan soal "boleh atau tidak", tetapi "hak asasi" seseorang warga negara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun, lebih-lebih lagi apabila hak ini termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia pada tahun 1989.
Namun demikian, Said Zahari tetap sanggup mengulas hujah-hujah yang membantah kepulangan Chin Peng, mengetengahkan perspektif baru untuk memahami isu ini, yang semestinya juga sebagai pendekatan alternatif untuk menilai sejarah tanahair ini, dalam wawancara bersama MerdekaReview, semalam.
Mewarisi pemikiran penjajah
Antara hujah yang mengambil pendekatan sentimen termasuklah mangsa dan keluarga mangsa yang terbunuh ketika Zaman Darurat akan terguris hatinya, malah berasa marah terhadap kepulangan Chin Peng. Lebih-lebih lagi, Chin Peng atau PKM tidak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi dilabelkan sebagai "pengganas" kerana melanjutkan perjuangan bersenjata walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957.
Namun demikian, Said Zahari meletakkan peristiwa yang berlaku dalam konteks sejarah, yang padanya tidak boleh dibaca secara kasar atau hanya sepintas lalu. Beliau memulakan wawancara dengan menyatakan bahawa mereka yang menentang kepulangan Chin Peng berdasarkan apa yang mereka anggap sebagai "keganasan" atau "kekejaman" yang dilakukan oleh Chin Peng dan pengikutnya terhadap rakyat, sebenarnya menerima legasi, atau warisan pemikiran penjajah.
"...Mereka menganggap ini sebagai sesuatu yang bukan budaya orang Malaysia. Bunuh-membunuh dan sebagainya," sambungnya, "Jadi, sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah pandangan-pandangan orang yang menerima legasi, warisan pemikiran penjajah. Penjajahlah yang menganggap Chin Peng dan PKM sebagai pengganas, dan sebagai parti yang menentang rakyat. Itu penjajah punya pandangan. Dan mereka ini masih berpegang kepada pemikiran seperti itu."
Namun, Said Zahari mengingatkan bahawa PKM berjuang untuk menentang penjajah asing, pernah berganding dengan British seketika untuk menghalau tentera Jepun, dan menentang British pula yang kembali sebagai penjajah selepas Jepun menyerah diri.
"Peperangan anti penguasaan asing bukannya perkara baru. Dari sejarah tanah air kita, kita dah tahu bagaimana rakyat menentang Inggeris yang ingin menguasai ...(kita). Perang Tok Janggut, Bahaman, Mat Kilau... Itu ada dalam sejarah. Walaupun tidak secara besar-besaran... Sudah ada di dalam kumpulan-kumpulan kecil yang menentang penguasaan asing," Pak Said cuba mencungkil sejarah penentangan penjajah yang berlaku pada peringkat lebih awal.
"Itu menjadi satu budaya rakyat tanah Melayu ini yang tidak mahu dikuasai orang asing. Itu kalau kami lihat dari sejarahnya. Jadi, apabila sampai zaman Jepun, Jepun datang menjajah. Dan sesudah British dikalahkan, mulalah rakyat mencari cara bersepadu supaya menentang Jepun pula. Yang dulunya kita hendak menghalau penjajah Bristish, sekarang Jepun sudah berkuasa. Kita menentang Jepun. Kemudian bila Jepun kalah, Bristish balik semula," sejarah perjuangan ini dijelaskan secara ringkas, yang sudah tentunya menyaksikan pertumpahan darah pahlawan-pahlawan tanahair tanpa mengira warna kulit.
"Kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya..."
Said Zahari memahami mereka yang cuba memberi reaksi berdasarkan keperibadian, misalnya saudara yang tercedera mahupun terbunuh ketika Zaman Darurat, tetapi mengingatkan bahawa peristiwa ini berlaku pada zaman negara masih terjajah, iaitu dalam peperangan anti penjajah.
"Itu perang. Dalam peperangan, kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya. Kalau awak tidak bunuh saya, saya bunuh awak. Sebab kita dalam peperangan. Dan siapa juga yang masuk dalam pasukan tentera mesti menjangkakan kemungkinan ini. Kemungkinan ini boleh berlaku kepada sesiapapun," katanya.
Maka, mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan pada ketika itu dianggap sebagai polis penjajah atau tentera penjajah, yang berperang menentang PKM. Tetapi, Said Zahari mengingatkan bahawa "apabila Darurat diisytiharkan, itu sama ertinya dengan mengeluarkan deklarasi peperangan terhadap PKM. Sudah timbul peperangan!"
Malah, dalam wawancara selama satu jam ini, Said Zahari beberapa kali menekankan bahawa "bunuh" dan "kena bunuh" adalah sebahagian daripada kelumrahan dalam peperangan.
"Kalau di dalam pasukan keselamatan, mati dalam perjuangan kerana menentang parti komunis... Dalam zaman itu, perang antara satu pihak dengan pihak lain. Dalam peperangan, mesti ada kematian, mesti ada pembunuhan," tegasnya.
Beliau mempersoalkan, "Kenapa kira tentera, pasukan keselamatan yang mati dan patah kaki, tetapi tidak tanya di sebelah pihak yang lagi satu? Siapa yang patah kaki (pihak PKM)? Siapa yang mati (pihak PKM)? Kenapa tidak diberitahu?"
Malah, Said Zahari mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa keperikemanusiaan itu harus ditafisrkan secara lebih luas, dengan mengambil kira semua pihak, "...komunis yang terbunuh tu, (mereka yang bunuh komunis) ada perikemanusiaankah? Apakah komunis tu bukan manusia?"
Perjuangan bersenjata selepas tahun 1957
Seandainya mereka yang terkorban semasa zaman penjajahan difahami dalam konteks tersebut, apa pula yang bermain dalam otak Chin Peng atau PKM secara keseluruhannya, apabila perjuangan bersenjata dilanjutkan walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957?
"PKM yang sudah mengambil peranan penting dalam anti penjajah, tidak pernah diberikan penghargaan," luahan dari Said Zahari sebelum menyambung, "PKM tidak meminta apa-apa. Hargai...kita (PKM) juga menentang penjajah. Akui. (kenyataan) Ini mereka (kerajaan Malaya) tidak mengakui."
"Jadi, bila PKM tidak diakui, ertinya mereka (kerajaan Malaya) mahu PKM meneruskan perjuangannya..." Beliau menjelaskan selanjutnya, "Ertinya orang-orang komunis tidak dihargai, tidak diambil kira. Tidak ada sumbangan. Ini yang menjadi soalan. Oleh itu, PKM meneruskan perjuangan."
"(PKM) Cuma meminta penghargaan dan pengakuan bahawa kita bersama-sama menentang penjajah. Kita bersama-sama menentang British. Tapi orang-orang konservatif yang dipimpin orang UMNO tidak mengakui ini semua, seoalah-olahnya mereka (UMNO) yang memperjuangkan merdeka. Ini bezanya. Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan. Tetapi penulis sejarah sekarang ini cuba tutup ini semua!" kata Pak Said.
Apabila wartawan melontarkan kemungkinan bahawa sesetengah pihak akan menganggap "pengakuan sumbangan PKM" terlalu remeh dan tidak berbaloi untuk pengorbanan nyawa rakyat lantaran perjuangan bersenjata yang tidak ditamatkan, Said Zahari menjawab,"Rakyat yang terkorban...itu memang betul. Saya fikir, kalau kita bandingkan, rakyat, pengikut perjuangan, tentera kerajaan dan tentera komunis, lebih banyak tentera komunis yang terbunuh berbanding tentera kerajaan. Kalau kerajaan menunjukkan orang yang patah kaki, masuk dalam suratkhabar gambarnya, berapa ramai tentera komunis yang kena bunuh, kena gantung, kena heret dan sebagainya...? Benda tu tidak tercerita. Kita cuba menutup sebahagian daripada sejarah."
Kerajaan juga bertanggungjawab
Malah, Said Zahari menyetujui bahawa beban kegagalan untuk menamatkan pertentangan PKM dengan kerajaan tidak harus dipikul oleh PKM, atau dipersalahkan kepada Chin Peng sahaja, memandangkan kerajaan juga bertanggungjawab untuk menamatkan pertentangan demi kesejahteraan orang ramai.
Apabila diajukan soalan bahawa sesetengah pihak menganggap adalah menjadi satu kesalahan Chin Peng untuk berjuang menegakkan fahaman komunis dan menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Malaya, yang dianggap tidak sesuai kerana anti-agama, Said Zahari (gambar kiri) merujuk kepada manifesto PKM dan mengaku bahawa "PKM mahu menegakkan satu negara Soviet, ertinya negara yang berasaskan ajaran Marx dan Lenin."
"Ini adalah falsafah politik. Sama juga orang mahu menegakkan Revolusi Perancis. Dia menegakkan satu negara republik. Dia mengangkat senjata dan berperang. Dalam perperangan yang terbentuk sebegitu, membunuh atau kena bunuh, adalah sebahagian daripada kelumrahan!"
Malah, beliau mengambil contoh PKI (Partai Komunis Indonesia) di Indonesia, "pengikut-pengikutnya bukan semuanya Cina, tetapi sebahagian besarnya Indonesia, dan bukan sahaja orang Indonesia, orang yang kuat berpegang kepada ugama Islam!"
Sentimen perkauman
Said Zahari turut memperbetulkan persepsi bahawa PKM hanya dianggotai oleh orang Cina, dan mendakwa ia semata-mata propaganda penjajah British untuk mengatakan hanya Cina menentang Jepun.
"Tetapi apa yang orang tidak tahu, banyak orang tidak tahu, bukan PKM saja yang menentang Jepun. Dan bukan PKM sahaja yang menentang British. PKM ini diertikan PKM yang dianggotai Cina. Padahal di dalam PKM sendiri ada ramai orang anak Melayu. Ada organisasi yang lain yang kecil-kecil yang juga menentang penjajahan, menentang Jepun."
Beliau meneruskan, "Jadi, kalau kita tengok dari segi sejarahnya, memang ramai orang tak tahu, kerana British tidak mahu rakyat tahu bahawa yang menentang Jepun dan menentang British, juga orang Melayu dan rakyat seluruhnya."
Said Zahari menggilap fakta bahawa Rejimen ke-10 dalam PKM kebanyakannya dianggotai orang Melayu, dan bagaimana pemimpin kaum Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD juga menjadi pucuk pimpinan dalam PKM, tetapi Chin Peng lebih ditonjolkan sebagai pemimpin tertinggi PKM untuk menyamakan PKM dengan orang Cina.
Kerana Chin Peng berketurunan Cina
Namun, keadaan ini berterusan setelah tanahair kita merdeka dari penjajahan British. Mungkin inilah yang menyesalkan Said Zahari, apabila Chin Peng kini masih dijadikan ikon kekejaman.
"Chin Peng sendiri anak tanah Melayu... Memang betul, dia anak tanah Melayu. Sebahagian besar PKM anak tanah Melayu. Abdullah CD anak tanah Melayu, Rashid Maidin...Shamsiah Fakeh bukan saja anak Melayu, orang ugama lagi!"
Said Zahari berkata, "tetapi apabila darurat diumumkan, dia jadi satu peperangan antara PKM dan kerajaan. Jadi tidak ada timbul soal kau Melayu, ataupun kau orang Cina dalam PKM...kalau awak baca buku Abdullah CD, berapa ramai orang yang mereka sudah bunuh? Kenapa mereka tidak dituduh seperti Chin Peng? Kenapa Chin Peng saja yangyou pilih... sebagai orang yang kejam?"
"Jawapannya ialah kerana Chin Peng ialah seorang Cina, keturunan etnik Cina. Dan ini yang bahaya untuk Malaysia, dan ini yang buruk untuk Malaysia!" kata Said Zahari.
"Hari ini tidak seharusnya berlaku," sejenak kemudian, Said Zahari meneruskan, "sebab Chin Peng, kalau saya nak melihat Chin Peng...saya kenal Chin Peng. Saya jumpa dengannya dua tiga, empat lima kali. Saya ingat, saya wartawan yang pertama berjumpa Chin Peng di Rundingan Baling, dan seterusnya di Bangkok."
"Chin Peng lebih patriotik!"
"Saya fikir, Chin Peng lebih patriotik daripada ramai orang berpekik-pekik, termasuk orang UMNO dan sebagainya...yang mengakui dirinya seorang yang patriotik," beliau menyambung "Sebab dia tak ada lain yang diperjuangkan. Dia berjuang di Malaysia, memang dia mahu menegakkan komunis soviet republik. Itu satu sistem politik. Dan dia tahu dia tidak boleh menang tetapi dia teruskan perjuangan ini."
Wartawan sempat bertanya satu soalan lagi bagi pihak yang menganggap Chin Peng tidak mempunyai hak untuk pulang ke tanah air, kerana kononnya penganut komunisme tidak mengiktiraf hak asasi dalam perjuangannya.
Dengan tangkas Pak Said membalas, "Apakah kita sekarang pun menerima hak asasi yang sebenarnya? Banyak hak asasi yang dinafikan. Ada pelbagai akta (yang menyekat) kebebasan akhbar, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), hak asasi tidak ada lagi..."
Malah, beliau layak untuk berkata sedemikian, "Saya menjadi mangsa hak asasi ini. Macam mana you mengatakan hak asasi saya dipertahankan? Bukan komunis yang menangkap saya. Bukan komunis yang penjara saya 17 tahun!"
"Orang yang mengaku mempertahankan kebebasan...(yang menangkap dan menahan saya). Jadi, hak asasi ini bergantung kepada siapa yang bercakap mengenainya. Memang kita tidak boleh menafikan di dalam peperangan, di dalam apa-apa persengketaan, perkara-perkara ini boleh berlaku. Daripada keseluruhannya, kita harus adil. Berlaku ketidakada-nya hak asasi di mana-mana juga!"
Said Zahari bukan sahaja ditahan di bawah ISA untuk 17 tahun, tetapi dilarang masuk ke sempadan Tanah Malaya lantaran permogokan yang dipimpinnya untuk menentang pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO pada tahun 1961. Larangan tersebut hanya dibatalkan hampir 30 tahun kemudian, oleh bekas PM Mahathir Mohamad pada tahun 1989.

Bagaimana "seandainya" apa yang tercapai dalam Perjanjian Damai Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, disempurnakan 34 tahun lebih awal, iaitu dalam Rundingan Baling pada tahun 1955?
Sememangnya, adalah terlalu lewat untuk membuat sebarang "andaian" dalam sejarah. Apa yang berlaku telah berlaku dan berlalu. Namun, sejarah tidak harus tinggal hanya sebagai "bahasa" pemenang, atau pemegang kuasa, seandainya sejarah itu ditelaah untuk mengambil iktibar daripadanya.
Selama ini, Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM memikul beban sejarah ini secara bersendirian, atas tuduhan "enggan menamatkan perjuangan bersenjatanya". Untuk mereka yang membaca memoir Chin Peng, My Side of History, sikap provokasi Ketua Menteri Singapura pada ketika itu, David Marshall dalam Rundingan Baling, mungkin berperanan menggagalkan rundingan tersebut.
Namun, sebagai wartawan yang membuat liputan di tempat kejadian Rundingan Baling pada usia 27 tahun ketika itu, Said Zahari menganjurkan perspektif tersendirinya untuk menafsir peristiwa sejarah ini. Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini mendedahkan pengalaman yang terpendam dalam ingatan beliau di memoir dirinya, Meniti Lautan Bergelora.
"I never wanted it to be a success," Tunku
Dalam bab ke-44, Said Zahari mencatatkan pengalaman dirinya ketika membuat liputan di Baling sebagai wartawan Utusan Melayu. Beliau yang cuba mendapatkan berita esklusif pada ketika itu, dibenarkan untuk mengajukan satu soalan kepada Tunku Abdul Rahman, sebelum sidang akhbar bermula.
Satu-satunya soalan tersebut berbunyi, "Adakah Tunku menyesal dengan kegagalan rundingan ini?" Tanpa diduga, Said Zahari dibalas dengan jawapan, "No, I am not. I never wanted it to be a success." (Tidak, saya tidak (menyesal). Saya tidak pernah mahukan ia berjaya.)"
Jawapan ringkas dari Tunku ini bagaimanapun tidak disiarkan, atas "nasihat" Syed Jaafar Albar, anggota Penerangan UMNO yang ketika itu berada di sisi Tunku.
Dalam wawancara bersama MerdekaReview kelmarin, Said Zahari kekal dengan pendirian beliau, bahawa Tunku tidak berniat untuk menyelesaikan perkara ini dengan Chin Peng, kerana untuk Tunku, soal Chin Peng adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh British, dan bukannya kerajaan Tanah Malaya.
"Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ"
"Padahal Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ," kata Said Zahari, "Apa yang terdapat dalam perjanjian 1989 sebenarnya could have been achieved in 1955. (Rundingan Baling?) Yes! The same thing, tapi Tunku tak mahu..sebab tu dia kata, 'memang aku tak mahu selesaikan'. This is the proof(Ini buktinya)."
Namun, apa yang bermain dalam otak Tunku, seandainya beliau ingin bertemu dengan Chin Peng, tetapi enggan menyelesaikan masalah dengan pemimpin komunis ini? Tokoh wartawan ini menganalisa Rundingan Baling dari perspektif percaturan politik, yang memenangkan kedua-dua pihak Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng.
"Tunku mahu membuktikan bahawa Chin Peng terpaksa berjumpa dengan saya, Tunku Abdul Rahman (gambar kanan) pada waktu itu, bukan British. Dan Chin Peng mahu membuktikan Tunku Abdul Rahman sanggup berjumpa dengannya walaupun dia ketua PKM," jelasnya.
"Jadi itu, you win one, i win one-lah (Kamu menang satu, saya menang satu)." Said Zahari menyimpulkan politik "saling guna-mempergunakan" antara kedua-dua orang tokoh ini.
Wartawan menyusul dengan soalan "apa manfaatnya pertemuan ini kepada pihak Tunku, jikalau bukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan Chin Peng?"
"Publisiti," Said Zahari menjelaskan selanjutnya, "Sebab dia (Tunku) pemimpin yang bukan sahaja diterima rakyat, tetapi juga pemimpin yang diterima oleh Chin Peng. Chin Peng sendiri cakap dalam perundingan itu, 'saya jumpa dengan Tunku sebab saya akui Tunku adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat'. That is good enough.(Itu sudah memadai.)"
Pertemuan tidak direstui British
Tetapi, bukankah Tunku akan mencipta sejarah yang lebih besar, seandainya berjaya menyelesaikan masalah dengan Chin Peng?
"Sebenarnya, Tunku Abdul Rahman punya pertemuan dengan Chin Peng tidak direstui oleh British pada waktu itu, tahun 1955. British memang tidak mahu Tunku jumpa Chin Peng. Sebab British takut, (dengan) menemui Chin Peng, Tunku mengakui wujudnya PKM. Dan pada Tunku, menemui Chin Peng bererti Chin Peng mesti berunding dengan Tunku, bukannya British," ulasnya.
"Tunku menggunakan Chin Peng, untuk tunjuk kat (kepada) British, I dare to meet Chin Peng. British tak berani kasik (bagi) Tunku jumpa Chin Peng. Dia takut Chin Peng politik lebih, lebih hebat, lebihmanipulative... sedangkan Tunku seorang gentleman, dan politiknya lebih konservatif," kata Said Zahari.
Malah, Said Zahari mempercayai bahawa British sebenarnya mengenakan syarat untuk pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng. "Sebab British sudah warning, ini walaupun tak ada bukti tapi saya percaya, (British berkata kepada Tunku) 'you cannot solve the problem, you don't make any agreement with Chin Peng!"
Seandai situasinya begitu, mengapa pula British gagal menghalang pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng?
Kembali kepada percaturan politik Tunku, Said Zahari menganalisa, "Pada Tunku, penyelesaian dengan Chin Peng seharusnya British punya isu. Dia (Tunku) sedang memperjuangkan kemerdekaan. Dia menggunakan Chin Peng. (Tunku mungkin menyampaikan mesej kepada British) I can cooperate with Chin Peng. We can fight you if you don't give me."
Tunku or Chin Peng?
"Saya percaya Tunku mesti berkata sedemikian dengan British di London. You want me or you want Chin Peng, or you want Chin Peng and me?" kata Said Zahari.
Beliau meneruskan analisanya, "You give to me or you give it to Chin Peng. It is up to you. But if you give it to me, then you selamat sikit. I think on this ground alone, British terpaksa (memberi kemerdekaan kepada Tunku)."
Pengamatan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini merumuskan, walaupun kemerdekaan tercapai seolah-olah perjuangan daripada pihak Tunku, tetapi tekanan sebenarnya datang dari pihak PKM.
"Disebabkan perjuangan bersenjata?" Soalan wartawan dibalas dengan tangkas dan tegas, "Yes!" sebelum Pak Said (gambar kiri) meneruskan, "Bristish can't afford to meneruskan perjuangan itu,too costly."
Demikianlah pengamatan dan analisa dari kaca mata seorang tokoh wartawan, Said Zahari mengenai sejarah kemerdekaan tanahair dan perjuangan PKM. Maka jelaslah mengapa bekas Ketua Pengarang ini mengeluarkan kenyataan bahawa Chin Peng adalah bumiputera Malaya, dan menyaran agar "perikemanusiaan" harus mengambil kira pihak PKM yang turut menyumbang dalam perjuangan kemerdekaan.

(dipetik dari laman blog http://wasiatpejuang.blogspot.com/search/label/WAWANCARA)

No comments:

Post a Comment