Carian

Kisah MEMALI

Tuesday, October 19, 2010

Siapa Jantan: Rafizi atau Shamsul Iskandar?

Calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli serta tim Generasi Reformasi yang didokongnya membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat untuk bertanding bagi jawatan tersebut berdasarkan kepada pertimbangan bahawa Pilihan Raya Umum 13 semakin hampir dan pelbagai persediaan mendesak perlu diberikan perhatian segera.

Berita tersebut telahpun tersebar luar terutama secara verbal atau dari mulut-ke-mulut diantara pemerhati politik serta ahli-ahli PKR khususnya AMK sepanjang lewat petang 16 Oktober 2010 (Sabtu) lalu. Berita mengenai Sdr Rafizi menarik diri dari perlumbaan menjadi Ketua AMK peringkat pusat bertiup kencang sehari dua sebelum itu apabila dikaitkan dengan ura-ura Sdr Shamsul Iskandar akan berpatah balik daripada bertanding jawatan Naib Presiden kepada mengekalkan jawatan Ketua AMK yang dinakhodakannya sejak sekian lama.


Saya hanya menerima berita bahawa Rafizi masih tidak menghantar borang pencalon pada kira-kira jam 4.43 petang hari Sabtu lalu ketika sedang berbual dengan Tn Syed Hamid Ali, Ketua Cabang Batu Pahat di sebuah dewan di sekitar Petaling Jaya melalui seorang teman yang bertemu dengan calon Ketua AMK bagi tim Generasi Reformasi ini. Berita itu amat mengejutkan saya kerna beliau telah dengan semangat dan berkobar menyatakan gagasan dan perjuangan mereka semasa program di Batu Pahat 2 hari sebelum itu. Janji beliau untuk menjadikan destinasi negeri Johor sebagai negeri ke 3 yang akan dilawatinya selepas Perak dan Sarawak setelah menang nanti agak pudar dari bayangan mimpi saya. Natijahnya juga menyebabkan pelbagai persoalan dan isu-isu yang telah kami lontarkan di Batu Pahat tempoh hari pasti tidak dapat dijuangkannya sebagai Ketua AMK.


Sdr Rafizi yang juga Ketua Pegawai Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata beliau berpuas hati kerana sepanjang tempoh kempen pemilihan beliau dan pasukan regunya telah berjaya mesej kesinambungan reformasi kepada akar umbi.

"Generasi Reformasi memulakan kempen dengan objektif utama untuk membawa isu-isu dan program utama yang perlu diangkat AMK untuk sampai ke Putrajaya. Ini termasuklah menjaguhi isu-isu yang dekat dengan anak muda, fokus kepada pembinaan organisasi dan menyiapkan barisan pimpinan muda yang baru.

"Sepanjang kempen, kami telah tekankan bahawa matlamat akhir Generasi Reformasi bukanlah untuk merebut jawatan tetapi memastikan barisan kepimpinan baru AMK mengambil kira isu-isu dan program utama ini. Tanpa penglibatan Generasi Reformasi dalam pemilihan kali ini, besar kemungkinan kempen pemilihan berkisar sekitar individu dan bukannya isu-isu anak muda.

"Matlamat itu telah dicapai. Mesej reformasi dalaman yang kami bahawa sudah sampai ke semua negeri dan ribuan anggota yang kami temui di 13 lokasi yang telah kami jelajahi," kata Rafizi dalam satu kenyataan media semalam.




Walaubagaimanapun, Sdr Shamsul Iskandar menepati ramalan dan menjadi Mr U-Turn apabila membuat keputusan untuk mengekalkan jawatan Ketua AMK yang telah dimenanginya sejak 3 tahun lalu. Walaupun, berita mengenai kompromi beliau dengan calon pilihan Sdr Badrul Hisham atau Chegubard bukan lagi rahsia. Segala kekutan Chegubard telahpun menunjukkan kesetiaan melalui janji mencalonkan Sdr Sam sebagai calon Naib Presiden dengan jumlah pencalonan ke-2 tertinggi selepas YB Fuziah Salleh berbanding 30 lagi calon Naib Presiden yang lain. 

Apakah tujuan penyandang jawatan Ketua AMK ini tidak jadi meneruskan niatnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden itu? Pelbagai persoalan bermain disetiap benak ahli-ahli AMK ketika ini. Adakah Sdr Sam tidak percayakan dirinya sehingga beliau gentar dan gelabah untuk meneruskan niat menyertai pertandingan menjadi orang No-3 dalam parti ini? Atau beliau takut untuk hilang kedudukan dan kerusi empok Ketua AMK miliknya ketika ini. Kalaulah beliau seorang penakut adakah layak beliau memimpin anak-anak muda dalam parti yang memperjuangkan pembaharuan ini? 

Walaupun Sdr Shamsul Iskandar itu sosoknya nampak agak lemah dan lembik dengan persembahan diri yang kurang menyakinkan apabila rambutnya agak makin berkurang, sosoknya yang tidak berapa tinggi dan badannya yang agak 'comel'. Apatah pula jika dibandingkan dengan lagak Ketua Pemuda UMNO, Y.B. Khairy Jamaludin yang punyai karekter yang menarik dan lebih 'charming' berbanding Sdr Sam. Jika dibuat perhitungan itu sahaja, sudah pasti anak-anak muda terutamanya yang pemudi-pemudi akan memilih UMNO sebagai wadah politik mereka. 

Akan tetapi, beliau sebenarnya mempunyai semangat juang yang kental. Walaupun beliau boleh sahaja hidup senang dengan kerjaya sebagai seorang peguam. Namun, beliau sanggup menerobos di setiap genap lapisan masyarakat untuk bersama-sama gelombang reformasi menentukan masa depan negara melalui kancah politik. Dan jalan politik yang beliau pilih adalah PKR dan bukannya UMNO. Sudah pasti beliau bukan calangan yang boleh ditawar beli. Prinsip yang beliau ada diharap dapat membantunya menjadi pemimpin anak muda yang lebih baik dan jitu. 

Berbalik kepada persoalan isu memilih untuk mengekalkan jawatan menurut beliau dalam blognya “Ini bukan ‘U turn’ tetapi sampai ke ‘T Junction’. Ambil ke kanan boleh, ke kiri pun boleh.  Oleh itu saya memilih untuk ke kanan iaitu memilih bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bukan ke kiri – Naib Presiden”.
“Saya tidak menyalahkan mereka (media) kerana pada saya itu tafsiran. Ketika saya mengumumkan kira-kira sebulan lalu untuk meminta rakan-rakan memberikan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, itu dibuat dengan hati yang cukup jelas.
“Memang kita tawar diri untuk mendapat pencalonan.  Tetapi itu bukan ‘U turn’ tetapi ‘T Junction”, kata beliau lagi ketika berucap di hadapan penyokong-penyokongnya selepas menyerahkan borang penerimaan pencalonan Pemilihan 2010 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya semalam.

Kesimpulan
Secara amnya, Sdr Rafizi dan Sdr Shamsul Iskandar telahpun menunjukkan sikap mereka yang sanggup berkorban demi perjuang yang mereka percaya dan pilih. 
Di pehak Generasi Reformasi, Sdr Rafizi melihat pertembungan 3 penjuru mungkin menyebabkan perpecahan dan merugikan parti. Selain itu, beliau sangat besar hatinya walaupun dilihat sebagai seorang yang berpotensi untuk menjawat jawatan Ketua AMK tersebut melepaskan peluang ini kerna menganggap pilihan raya yang akan datang beberapa ketika nanti ini adalah jauh lebih penting daripada perlumbaan adik-beradik ini. Namunbegitu, Generasi Reformasi bukannya berkubur sebaliknya mengharapkan beberapa calon exco daripada tim ini dapat memenangi beberapa kerusi yang dipertanding. Saya ingin merakamkan penghargaan tertinggi kepada tim Generasi Reformasi ini diatas pengorbanan mereka. Tahniah!!
Bagi Sdr Shamsul Iskandar dan timnya yang dikenali sebagai 'Reformasi 3.0' menghadapi tugas getir yang maha mencabar apabila berhadapan dengan calon pilihan iaitu Sdr Chegubard. Mereka pernah duduk berbincang dan bernegosiasi yang akhirnya Sdr Sam yang dilihat sebagai khianat apabila buat keputusan untuk U-Turn. Pada pendapat saya Sdr Shamsul perlu menang dalam pertandingan ini. Hal ini kerana dia bisa saja hilang segalanya kerana membuat keputusan untuk mempertanhankannya. Lain pula kalau beliau kalah dalam perebutan kerusi Naib Presiden kerana kekalahan ini lebih tinggi darjatnya berbanding kalah dalam mempertahankan apa yang beliau ada. Justeru, kepada seluruh anggota tim Reformasi 3.0 harus bekerja keras dan harus sehingga titisan darah sekalipun.....anda harus pastikan Sam juara. Kerana kiranya tidak sudah pasti karier politik anak Melaka ini boleh sahaja berkubur.
Namunbegitu, saya sangat berharap agar tidak sahaja pertembungan ini buat kita terus-terusan bermusuh. Sebaliknya, peluang ini kita gunakan untuk pastikan bahawa hanya mereka yang terbaik sahaja yang akan memimpin AMK kelak. Selain itu, kalah dan menang itu adat pertandingan. Sudah pasti tim yang menang tidak sahaja dapat kesemuanya. Begitupun yang kalah, sudah pasti tidak hilang segalanya. Harapan saya, baik Chegubard mahupun Sam setelah keputusan diumum nanti bersatulah kembali untuk teruskan kemaraan ke Putrajaya. Perkasakan AMK melalui program-program yang mapan serta disusuli dengan pengurusan yang lebih 'presentable'. Pertandingan ini hanya permulaan segalanya. Sebaliknya PRU13 lah penentu masa depan saya dan anak-anak saya.

"...mendepani zaman...."-zackzaihan-

Friday, October 15, 2010

Debat Calon Ketua AMK di Batu Pahat: Hasmi Hashim Yakin Ketua AMK Miliknya?

14 Oktober 2010 bertempat di Hotel Novo Park, Batu Pahat telah pun berlangsung apa yang saya gelar sebagai Debat Calon Ketua AMK Round 2 yang akhirnya hanya calon berani sahaja yang tampil iaitu Sdr Rafizi Ramli dan Sdr Hasmi Hashim. Calon-calon lain mendapat perkabaran daripada sdr penganjur berkata bahawa Chegubard memberi alasan berada di negeri seberang dan Sdr Sam pula menolak kemungkinan untuk hadir ke program tersebut sama seperti program anjuran di Taiping tempohari atas alasan gagah seorang pejuang muda iaitu beliau tiada minat untuk mengekalkan keselesaan diri di posisi lama. Sebaliknya beliau ingin meneroka selangkah lagi tapak ke tebing lebih tinggi. Beliau impikan kerusi Naib Presiden.

Walaupun hanya yang tampil adalah 2 tokoh besar AMK ini, iainya sangat mengujakan apabila diadakan di sebuah tanah negeri yang lahirnya ramai pejuang-pejuang besar. Diadakan pula di daerah Batu Pahat yang terkenal dengan sejarah asal pembabitan rakyat dalam memperjuang kemerdekaan. Nama-nama seperti Dato' Onn Jaafar, Kiyai Salleh (Ketua Pendekar Selimpang Merah) dan ramai lain antaranya yang saya perolehi dari carian 'google' adalah http://ms.wikipedia.org/wiki/Batu_Pahat. Dan yang menarik tentang Bandar Penggaram (nama asal Batu Pahat) ini juga dikaitkan dengan nama-nama besar tokoh pembangkang yang dikatakan dilahirkan sendiri melalui wikipedia tersebut adalah Y.B. Lim Kit Siang, Y.A.B. Lim Guan Eng, Y.B. Tony Phua, M.P. PJ Utara dan lain-lain.

Program malam ini dimulakan oleh Pengerusi Cabang yang banyak berjasa memperjuangkan rakyat di Batu Pahat dan Johor iaitu Tn. Syed Hamid Ali membuka majlis dengan dorongan dan nasihat yang jitu. Penghargaan juga saya tuju buat diri beliau yang telah banyak berjuang atas nama perjuangan rakyat tanpa mengenal erti jemu. Beliau sangat berkenan dan gembira apabila diberitahu anak-anak muda bandar ini bersedia menuju perubahan dengan mengambil iktibar mengadakan program tersebut yang akhirnya hanya menampilkan 2 orang calon pemberani sahaja. 'Jaguh Jalanan' Chegubard tidak menghadiri debat Round 2 ini atas sebab-sebab ada agenda lain mungkin?......

Selepas,itu program juga memberi peluang kepada calon-calon exco AMK Pusat yang bertanding untuk memberikan sedikit pengenalan diri serti visi dan cita-cita mereka. Ianya bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada sekalian anggota AMK yang hadir. Keperluan itu adalah sangat penting untuk setiap anggota sebelum menyerahkan diri mereka kepada pemimpin pilihan masing-masing.Tidak lupa juga Sdr Zabidie selaku Ketua AMK Johor juga memberikan aluan.

Kemudian, Sdr Rafizi Ramli telah memberikan ucapan dasar mengenai menifestonya. Dan seperti biasa beliau telah mengemukan agenda reformasi dari timnya. Menurutnya, dengan rendah diri "Generasi Reformasi ini mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat... sekarang kebanyakan golongan muda sedang menghadapi risiko 'bankrap', jadi isu-isu yang menarik minat golongan muda seperti kos sara hidup, kerjaya, pendapatan berkualiti, kebebasan internet dan pembiayaan pendidikan adil ini perlu dibawa sama tinggi dengan isu-isu tradisional AMK."

Pendapat saya tanpa prejudis melihat idea dan pengembangan matlamat Sdr Rafizi Ramli jelas dan bersedia untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi oleh golongan muda. Hujah-hujah yang beliau sampaikan adalah lengkap dan sangat menyakinkan bahawa beliau seorang yang berpijak dibumi yang nyata. Semangatnya terbuka dalam berhadapan dengan tohmahan dan soalan-soalan nakal daripada sahabat-sahabat AMK yang ada.

Kehangatan dewan terus dirancakkan dengan calon Ketua AMK dari negeri Johor, kelahiran Batu Pahat iaitu Sdr Hasmi Hashim. Seperti biasa lengok bahasanya sangat berbudaya serta kupasan-kupasan menarik mengenai Plato sebagai pembuka kata. Menurut beliau Plato adalah ahli falsafah terawal Yunani pernah mentafsir seorang pemimpin adalah seorang yang berjiwa besar, boleh berfikir untuk menghadapi zaman atau dikenali sebagai 'ziet giest', mampu merancang masa depan dan kehadapan. Itu faktor yang membezakan diantara pemipin dan tukang atau pekerja. Menurut Sdr Hasmi, kata Plato tukang pula adalah seorang yang sangat pandai bekerja, bergerak untuk bekerja dan memastikan segalanya terbaik untuk bekerja. Dan seorang tukang tidak mungkin menjadi pemimpin yang baik. Begitu juga seorang pemimpin tidak boleh dijadikan tukang yang terbaik.

Sdr Hasmi Hashim juga membawa seluruh dewan menyoroti sejarah pertembungan beliau dengan Sdr Sam sewaktu pemilihan yang lepas untuk merebut Ketua AMK Pusat. Kekalahannya 3 tahun lepas langsung tidak melemahkannya. Sebaliknya, beliau yakin bahawa Hasmi Hashim sebenarnya menang apabila idea yang dicanangkan pada pemlihan sudah iaitu melalui Gagasan Pencerah antaranya mahu setiap calon yang mahu bertanding peringkat tertinggi harus berdebat kemukakan hujah dan harapan terhadap jawatan yang ingin ditandingi.

Setelah kehangatan pidato dan hujah-hujah daripada seorang idealis ini. Dewan akhirnya tersentak apabila persona yang beliau tampil selama ini apabila beliau mengumumkan secara pertama kalinya mengenai pendirian beliau sama ada akan bertanding jawatan Ketua AMK atau tidak. Kenyataan media yang dikeluarkan daripada pejabat beliau tempoh hari masih bersifat teka-teki. Namun, malam tadi memecah kebuntuan apabila beliau secara jantan memaklumkan para hadirin bahawa beliau tidak akan bertanding Ketua AMK sebaliknya akan menumpukan perhatian penuh kepada perebutan tempat di Majlis Pimpinan Pusat atau MPP.

Berita itu disambut dengan penghargaan yang tertinggi daripada warga muda Batu Pahat walaupun ramai penyokong-penyokongnya masih setia mahu beliau bertanding sebagai Ketua AMK. Ini kerana tokoh idealis dan sosok seperti adalah sukar untuk dijumpa zaman edan ini. Namunbegitu, akhirnya mereka akur dengan keputusan Sdr Hasmi tersebut. Selepas tamat program saya sempat berbincang seketika dengan beliau mengenai masa depan politiknya. Dan beliau menjawab mudah bahawa "politik itu bukan larian deras (speed run) sebaliknya ia suatu larian yang panjang (marathon)......dan saya menambah lebih laju dan deras larian anda lebih banyak 'energy' digunakan....lebih banyak 'energy' digunakan lebih banyak ATP (struktur jenis tenaga dalam sains)...dan bila ATP habis secara tiba-tiba....maka otot akan kejang....sebab itu pelari deras (speed runner) lebih kerap kejang berbanding pelari marathon.....Dan melalui konotasi dan metafora pelari itu saya belajar sedikit mengenai perjalanan politik.

Program malam itu juga diserikan dengan kehadiran bekas Ketua AMK Johor dan kini Naib Ketua AMK Malaysia iaitu Y.B. Amirudin Saari.

Wednesday, October 13, 2010

Akuan Bersumpah Rahimi

Ini adalah Akuan Bersumpah Sdr Rahimi yg baru. Diperolehi dari blog teman http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

(sila click untuk membacanya)




Sultan Kelantan Lucut Gelaran 'Datuk Paduka' Presiden PERKOSA


Salhan K Ahmad
Okt 13, 10
11:26am, Malaysiakini
Istana Kelantan hari ini melucutkan gelaran 'Datuk' yang dianugerah kepada presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.

azlanSelain Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, gelaran Datuk bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud juga ditarik balik.

Menurut kenyataan media yang difakskan keMalaysiakini, Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Seri Setia Raja Mohd Aiseri Alias berkata lima pingat yang dianugerahkan kepada Wan Hashim ditarik balik.
Turut ditarik balik pingat mereka hari ini adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.
Menurut kenyataan itu, "adapun penarikan balik ini adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara Baginda jua".
NONE
Sementara itu, dalam reaksi spontannya, Ibrahim ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengesahkan beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini bahawa Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) yang membawa gelaran 'Datuk Paduka' yang dianugerahkan kepadanya telah dilucutkan.

Pingat itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

“Saya tidak tahu sebab-sebabnya tetapi pada 7 Oktober lalu, saya ada menziarahi Sultan Ismail di Istana Mahkota. Sejak Sultan Ismail gering dan pulang ke Kelantan, inilah pertama kali saya melawat kerana hubungan peribadi saya amat rapat dengan Sultan Ismail.

Terus pertahan institusi raja

"Apapun, ia tidak menjadi hal pada saya dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam pesanan ringkas SMS kepada Malaysiakini.

Menurut presiden PERKASA itu lagi, taat setianya kepada Sultan Kelantan sekarang, Tuanku Muhammad V tidak berbelah-bagi.

“Saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi raja kerana ia asas perlembagaan negara dan sebahagian daripada budaya Melayu menjunjung kedaulatan raja. Ampun Tuanku,” katanya.

NONEIbrahim juga menjelaskan beliau masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.
Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui wartawan di lobi parlimen, berkata beliau menerima keputusan penarikan darjah kebesarannya itu dengan hati terbuka terhadap.

Katanya, tindakan itu tidak akan mematahkan perjuangan beliau untuk mempertahankan institusi diraja dan juga hak Melayu.

"Saya tidak terkejut dengan perkara ini dan saya tidak mengetahui sebab dilucutkan gelaran itu," katanya.

Saturday, October 9, 2010

Di Sebalik Kejadian Ganas PDRM di Johor Semalam

8 Oktober 2010, Jumaat, Kulai, PDRM sekali lagi mengganggu program anjuran PKR di negeri Johor. Kali ini program Jamuan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di C-10, KAMPUNG AYER MANIS, KULAI, JOHOR dari jam 8.00-11.00 malam.


Kehadiran adalah dikalangan pemimpin-peminpin PKR daripada seluruh cabang di negeri Johor selain disertai juga pemimpin-pemimpin daripada parti komponen pakatan yang lain daripada PAS negeri dan DAP Johor. Selain itu, penduduk kawasan persekitaran juga mengambil peluang untuk turut memeriahkan program yang julung kali diadakan secara besar seperti malam tersebut.


Program juga turut menampilkan beberapa nama besar PKR seperti YB Azmin Ali, Naib Presiden, Dato' Chua Jui Ming, MPP, Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin turut hadir memberikan sokongan kepada kemaraan PKR negeri Johor.


Namunbegitu, program yang dirancang mendapat gangguan daripada pihak PDRM melalui Superintendan Zulkefly Yahya yang mengarahkan anggotanya untuk menganggu ketika Dato' Chua Jui Ming sedang berucap sebgai aluan selepas 10 minit beliau berucap. Tindakan mengambil atau merampas 'microfon' ketika seseorang sedang berucap meraikan majlis sambutan Aidilfitri adalah sungguh tidak bertamadun dan biadap.

Superitendan Zulkefly menunjukkan kuasa 'super'nya jam 5 petang lagi apabila dilaporkan bahawa jalan-jalan menuju ke lokasi sambutan di sekat oleh sekatan jalan raya/ road block. Keburukan dan kebobrokan pihak PDRM diburukkan lagi apabila mengarahkan sekalian warga Malaysia yang menyertai rombongan untuk bersama ke majlis tersebut daripada Masai terpaksa berjalan kaki sejauh 1.5KM. Dikhabarkan rombongan tersebut disertai oleh golongan diantara 15-70 tahun.
 Kedapatan juga anggota PDRM yang bersenjatakan pistol, revolver, belantan, alat pelindung rusuhan serta kenderaan Black Maria yang mundar mandir di lokasi memperlihatkan bahawa terdapat usaha provokasi yang ingin menjadikan majlis itu dalam keadaan huru-hara.
Pihak penganjur mengambil jalan diplomasi dengan menjemput anggota PDRM yang diketuai oleh Ketua Polis Kulaijaya tersebut menyertai majlis. Dan yang menjadi aneh mereka turut serta menyertai jamuan dan ada yang kekenyangan telah dengan secara tiba-tiba menyerbu Dato' Chua Jui Ming yang baru memulakan ucapannya. Perlakuan majis ini berterusan sehingga mereka membuat keadaan seolah-olah sangat huru-hara. Kain rentang diturunkan, sistem siaraya (PA system) dirampas menunjukkan kebiadapan pihak polis di negeri Johor ditahap melampau.
Setakat ini sudah 2 kali program anjuran PKR negeri Johor di perlakukan dengan adegan lagak nggeri sedemikian. Yang pertamanya sewaktu di Benut tempoh hari. Apakah yang mereka mahukan daripada segala usaha jahat dan hina ini? Atau memang ada 'remote control' yang memandu PDRM di negeri Johor sehingga mereka tergamak melanggar prinsip kepolisian itu sendiri. Diperkuda oleh segelintir aristokerat UMNO Johor sejak kebelakangan ini sebenarnya merencat dan cacatkan paradigma masyarakat terhadap sistem kepolisian di negara ini yang sudah pun sangat parah.

Saya berharap Ketua Polis Negara yang baru mengotakan janjikan untuk menjadikan PDRM sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, berkecuali dan tidak mudah dijadikan anjing suruhan pihak penjajah (kerajaan UMNO) seperti mana British menggunakan polis sewaktu zaman sebelum merdeka dahulu. Pahlawan-pahlawan Melayu berjuang dan ditentang dengan konspirasi undang-undang untuk menyekat kemaraan rakyat. Walau bagaimanapun, api reformasi sedang marak di negeri pembentukan UMNO ini.

Saya sangat optimis bahawa negeri Johor akan menjadi negeri ke2 selepas Selangor yang dikuasai oleh PKR. Dan saya sangat percaya bahawa UMNO Johor juga punyai pendapat yang sama seperti saya. Ini dapat dibuktikan dengan tindak tanduk mereka kebelakangan ini dengan memfitnah, menganggu majlis dan pelbagai usaha kotor dilakukan dengan upaya yang ada melalui aperatus kerajaan. Selain itu, penyertaan beribu-ribu orang dalam pelbagai program dan majlis Pakatan Rakyat sejak pertengah tahun lalu di negeri Johor membuktikan bahawa kemaraan rakyat sedang berlaku di sini. Selain itu, kutipan-kutipan dan sumbangan dengan mendadak meningkat juga sebagai sebahagian bukti bahawa negeri Johor sedang dalam proses perubahan. Penurunan majoriti undi yang diperolehi oleh pemimpin-pemimpin UMNO Johor tempoh hari sewaktu PRU12 juga meresahkan kepimpinan UMNO di Johor. Pelbagai skandal kerajaan BN sejak kepimpinan Menteri Besar sudah iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin juga mula tersebar luas pada pengetahuan rakyat serata negeri.
Oleh itu, saya mendesak dan mengajak sekalian anggota-anggota PKR, PAS dan DAP serta pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat secara amnya dan tidak dilupa kepada orang-orang UMNO yang sudah ragu-ragu dengan perjuang parti itu agar sama-sama bersedia untuk melakar sejarah tahun depan dengan memastikan PRU13 bahawa negeri Johor yang menjadi sarang penagih parti fahaman assabiyah UMNO ini tersungkur dengan bejat. Dan saya juga ingin melakarkan penghargaan yang tinggi kepada sekalian warga negeri Johor yang sedang mahu berubah serta ahli-ahli Pakatan Rakyat agar terus istiqamah dalam perjuangan menuntut kemerdekaan ini. Insyaallah....majlis malam tadi membuktikan sebuah perjuangan yang akan menang...Rakyat Johor Terus MAJU!!!!

...mendepani zaman...
zackzaihan

Friday, October 8, 2010

Perjuangan Chin Peng: Dari Kacamata Mantan Ketua Pengarang, Utusan Melayu (perlu dibaca!!)

SETIAUSAHA AGUNG PARTI KUMUNIS MALAYA DARI PANDANGAN BAPAK SAID ZAHARI

"Chin Peng lahir di bumi Malaya. Dia lahir di satu tempat, namanya Setiawan. Setiawan ini adalah sebahagian daripada bumi Malaya. Kalau dia lahir di bumi Malaya, maka dia adalah bumiputera Malaya..."
Demikianlah hujah yang dianggap paling kukuh untuk mengulas isu kepulangan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) ke tanahair Malaysia, dari mulut bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari (gambar kanan).
Untuk tokoh kewartawanan ini, tidak timbul soal sama ada Chin Peng boleh balik atau tidak. "(adalah) Hak Chin Peng untuk balik. Bukan (soal) dia boleh atau tidak. Dari segi undang-undang, tak ada seorang yang boleh mengatakan Chin Peng tak ada hak (untuk) balik (ke tanahair). Tanahair Chin Peng bukan China, bukan Taiwan, bukan Hong Kong. But it is inSetiawan," tegas Said Zahari.
"Bumiputera?" tanya wartawan MerdekaReview untuk mendapatkan kepastian. Dengan lantas dan lantang, Said Zahari membalas, "Ya! Undang-undang dunia mana sekali pun, di mana awak lahir, di situlah tanahair."
Said Zahari mengibaratkan bahawa seandainya diri beliau dilahirkan di Kuala Lumpur misalnya, dan Chin Peng pula dilahirkan di Setiawan, "...kedua-duanya di tanah Melaya. Saya bumiputera tanah bumi ini. Mengapa mahu buat Chin Peng bukan bumiputera? Kalau datuknya bukan bumiputera saya setuju...tapi...(tidak bersetuju dalam kes Chin Peng)."
Malah, Said Zahari yang lebih dikenali sebagai Pak Said ini sambil berseloroh menambah, "Yang penting, kalau mereka (yang menentang kepulangan Chin Peng) dapat buktikan Chin Peng bukan lahir di Setiawan, dia lahir di Tiananmen, itu cerita lain."
Tandatangan Chin Peng diterima
Said Zahari (gambar kiri) memperkukuhkan hujahnya untuk menolak alasan bahawa Chin Peng tidak memiliki dokumen kelahiran untuk membuktikan dirinya warga negara Malaysia, dengan mendakwa bahawa kesediaan kerajaan untuk berunding dengan Chin Peng, dalam kedua-dua Rundingan Baling dan Perjanjian Damai Haadyai, jelas menunjukkan bahawa kedudukan Chin Peng telah diiktiraf.
"Apabila kerajaan Malaya, mengakui mahu berunding dengan Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian (pada) tahun 1955, saya ada di situ. Itu sudah menunjukkan kita mengakui bahawa mereka ini rakyat Malaya yang memperjuangkan sesuatu. Tambah pula, Perjanjian Pendamaian Haadyai tahun 1989, itu bukti yang lebih besar," katanya.
Beliau mempersoalkan, "apa lagi yang kamu (mereka yang menentang kepulangan Chin Peng) mahu? Kalau kamu sudah boleh terima Chin Peng punya signature (tandatangan) sebagai satu perjanjian yang membawa kepada pendamaian antara rakyat di Malaya, apa bukti yang you mahu? Apakah you masih insist dia bukan rakyat jelata? Kita sudah zalim..."
Said Zahari menjelaskan "hak" Chin Peng (gambar kanan) yang dimaksudkannya termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan secara amnya, dan Perjanjian Damai Haadyai secara khususnya. Perjanjian Damai Haadyai yang dimeterai antara pihak PKM, kerajaan Malaysia dengan kerajaan Thai membenarkan anggota PKM untuk kembali ke Malaysia selepas pasukan bersenjata PKM dibubarkan.
Walau bagaimanapun, hasrat Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya tidak kesampaian apabila kedua-dua orang Perdana Menteri, Najib Abdul Razak dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin telah menolak permintaan Chin Peng tersebut secara terbuka. Isu ini bertambah hangat apabila sesetengah bekas perajurit turut mendesak agar pemimpin komunis ini tidak dibenarkan menjejak kaki ke Malaysia.
Pada tahun 1955, Said Zahari yang berusia 27 tahun ketika itu, berada di Baling sebagai salah seorang wartawan yang membuat liputan untuk rundingan bersejarah antara PKM dengan Tunku Abdul Rahman, yang menyandang jawatan PM pertama kemudiannya.
Bekas Ketua Pengarang yang pernah memimpin permogokan menentang pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO pada tahun 1961, juga adalah mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun. Beliau kini berusia 81 tahun, menerima wawancara MerdekaReview untuk berkongsi pandangan beliau dalam isu kepulangan Chin Peng.

"Buta sejarah", demikianlah label yang dilontarkan terhadap generasi muda yang cuba mengangguk kepada kepulangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanahair. Pada masa yang sama, mereka yang sedia untuk memberi laluan atas dasar perikemanusiaan, dipertikaikan sebaliknya sama ada "Chin Peng yang tidak perikemanusiaan" ini layak untuk menerima layanan "perikemanusiaan".
Namun demikian, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari (gambar kanan) tetap dengan pendirian bahawa Chin Peng berhak untuk pulang ke tanahairnya, Malaysia. Tokoh kewartawanan ini berada di tempat kejadian pada usia 27 tahun, menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana Rundingan Baling diadakan pada tahun 1955.
Beliau bertanggapan bahawa isu kepulangan Chin Peng ini bukan soal "boleh atau tidak", tetapi "hak asasi" seseorang warga negara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun, lebih-lebih lagi apabila hak ini termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia pada tahun 1989.
Namun demikian, Said Zahari tetap sanggup mengulas hujah-hujah yang membantah kepulangan Chin Peng, mengetengahkan perspektif baru untuk memahami isu ini, yang semestinya juga sebagai pendekatan alternatif untuk menilai sejarah tanahair ini, dalam wawancara bersama MerdekaReview, semalam.
Mewarisi pemikiran penjajah
Antara hujah yang mengambil pendekatan sentimen termasuklah mangsa dan keluarga mangsa yang terbunuh ketika Zaman Darurat akan terguris hatinya, malah berasa marah terhadap kepulangan Chin Peng. Lebih-lebih lagi, Chin Peng atau PKM tidak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi dilabelkan sebagai "pengganas" kerana melanjutkan perjuangan bersenjata walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957.
Namun demikian, Said Zahari meletakkan peristiwa yang berlaku dalam konteks sejarah, yang padanya tidak boleh dibaca secara kasar atau hanya sepintas lalu. Beliau memulakan wawancara dengan menyatakan bahawa mereka yang menentang kepulangan Chin Peng berdasarkan apa yang mereka anggap sebagai "keganasan" atau "kekejaman" yang dilakukan oleh Chin Peng dan pengikutnya terhadap rakyat, sebenarnya menerima legasi, atau warisan pemikiran penjajah.
"...Mereka menganggap ini sebagai sesuatu yang bukan budaya orang Malaysia. Bunuh-membunuh dan sebagainya," sambungnya, "Jadi, sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah pandangan-pandangan orang yang menerima legasi, warisan pemikiran penjajah. Penjajahlah yang menganggap Chin Peng dan PKM sebagai pengganas, dan sebagai parti yang menentang rakyat. Itu penjajah punya pandangan. Dan mereka ini masih berpegang kepada pemikiran seperti itu."
Namun, Said Zahari mengingatkan bahawa PKM berjuang untuk menentang penjajah asing, pernah berganding dengan British seketika untuk menghalau tentera Jepun, dan menentang British pula yang kembali sebagai penjajah selepas Jepun menyerah diri.
"Peperangan anti penguasaan asing bukannya perkara baru. Dari sejarah tanah air kita, kita dah tahu bagaimana rakyat menentang Inggeris yang ingin menguasai ...(kita). Perang Tok Janggut, Bahaman, Mat Kilau... Itu ada dalam sejarah. Walaupun tidak secara besar-besaran... Sudah ada di dalam kumpulan-kumpulan kecil yang menentang penguasaan asing," Pak Said cuba mencungkil sejarah penentangan penjajah yang berlaku pada peringkat lebih awal.
"Itu menjadi satu budaya rakyat tanah Melayu ini yang tidak mahu dikuasai orang asing. Itu kalau kami lihat dari sejarahnya. Jadi, apabila sampai zaman Jepun, Jepun datang menjajah. Dan sesudah British dikalahkan, mulalah rakyat mencari cara bersepadu supaya menentang Jepun pula. Yang dulunya kita hendak menghalau penjajah Bristish, sekarang Jepun sudah berkuasa. Kita menentang Jepun. Kemudian bila Jepun kalah, Bristish balik semula," sejarah perjuangan ini dijelaskan secara ringkas, yang sudah tentunya menyaksikan pertumpahan darah pahlawan-pahlawan tanahair tanpa mengira warna kulit.
"Kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya..."
Said Zahari memahami mereka yang cuba memberi reaksi berdasarkan keperibadian, misalnya saudara yang tercedera mahupun terbunuh ketika Zaman Darurat, tetapi mengingatkan bahawa peristiwa ini berlaku pada zaman negara masih terjajah, iaitu dalam peperangan anti penjajah.
"Itu perang. Dalam peperangan, kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya. Kalau awak tidak bunuh saya, saya bunuh awak. Sebab kita dalam peperangan. Dan siapa juga yang masuk dalam pasukan tentera mesti menjangkakan kemungkinan ini. Kemungkinan ini boleh berlaku kepada sesiapapun," katanya.
Maka, mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan pada ketika itu dianggap sebagai polis penjajah atau tentera penjajah, yang berperang menentang PKM. Tetapi, Said Zahari mengingatkan bahawa "apabila Darurat diisytiharkan, itu sama ertinya dengan mengeluarkan deklarasi peperangan terhadap PKM. Sudah timbul peperangan!"
Malah, dalam wawancara selama satu jam ini, Said Zahari beberapa kali menekankan bahawa "bunuh" dan "kena bunuh" adalah sebahagian daripada kelumrahan dalam peperangan.
"Kalau di dalam pasukan keselamatan, mati dalam perjuangan kerana menentang parti komunis... Dalam zaman itu, perang antara satu pihak dengan pihak lain. Dalam peperangan, mesti ada kematian, mesti ada pembunuhan," tegasnya.
Beliau mempersoalkan, "Kenapa kira tentera, pasukan keselamatan yang mati dan patah kaki, tetapi tidak tanya di sebelah pihak yang lagi satu? Siapa yang patah kaki (pihak PKM)? Siapa yang mati (pihak PKM)? Kenapa tidak diberitahu?"
Malah, Said Zahari mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa keperikemanusiaan itu harus ditafisrkan secara lebih luas, dengan mengambil kira semua pihak, "...komunis yang terbunuh tu, (mereka yang bunuh komunis) ada perikemanusiaankah? Apakah komunis tu bukan manusia?"
Perjuangan bersenjata selepas tahun 1957
Seandainya mereka yang terkorban semasa zaman penjajahan difahami dalam konteks tersebut, apa pula yang bermain dalam otak Chin Peng atau PKM secara keseluruhannya, apabila perjuangan bersenjata dilanjutkan walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957?
"PKM yang sudah mengambil peranan penting dalam anti penjajah, tidak pernah diberikan penghargaan," luahan dari Said Zahari sebelum menyambung, "PKM tidak meminta apa-apa. Hargai...kita (PKM) juga menentang penjajah. Akui. (kenyataan) Ini mereka (kerajaan Malaya) tidak mengakui."
"Jadi, bila PKM tidak diakui, ertinya mereka (kerajaan Malaya) mahu PKM meneruskan perjuangannya..." Beliau menjelaskan selanjutnya, "Ertinya orang-orang komunis tidak dihargai, tidak diambil kira. Tidak ada sumbangan. Ini yang menjadi soalan. Oleh itu, PKM meneruskan perjuangan."
"(PKM) Cuma meminta penghargaan dan pengakuan bahawa kita bersama-sama menentang penjajah. Kita bersama-sama menentang British. Tapi orang-orang konservatif yang dipimpin orang UMNO tidak mengakui ini semua, seoalah-olahnya mereka (UMNO) yang memperjuangkan merdeka. Ini bezanya. Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan. Tetapi penulis sejarah sekarang ini cuba tutup ini semua!" kata Pak Said.
Apabila wartawan melontarkan kemungkinan bahawa sesetengah pihak akan menganggap "pengakuan sumbangan PKM" terlalu remeh dan tidak berbaloi untuk pengorbanan nyawa rakyat lantaran perjuangan bersenjata yang tidak ditamatkan, Said Zahari menjawab,"Rakyat yang terkorban...itu memang betul. Saya fikir, kalau kita bandingkan, rakyat, pengikut perjuangan, tentera kerajaan dan tentera komunis, lebih banyak tentera komunis yang terbunuh berbanding tentera kerajaan. Kalau kerajaan menunjukkan orang yang patah kaki, masuk dalam suratkhabar gambarnya, berapa ramai tentera komunis yang kena bunuh, kena gantung, kena heret dan sebagainya...? Benda tu tidak tercerita. Kita cuba menutup sebahagian daripada sejarah."
Kerajaan juga bertanggungjawab
Malah, Said Zahari menyetujui bahawa beban kegagalan untuk menamatkan pertentangan PKM dengan kerajaan tidak harus dipikul oleh PKM, atau dipersalahkan kepada Chin Peng sahaja, memandangkan kerajaan juga bertanggungjawab untuk menamatkan pertentangan demi kesejahteraan orang ramai.
Apabila diajukan soalan bahawa sesetengah pihak menganggap adalah menjadi satu kesalahan Chin Peng untuk berjuang menegakkan fahaman komunis dan menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Malaya, yang dianggap tidak sesuai kerana anti-agama, Said Zahari (gambar kiri) merujuk kepada manifesto PKM dan mengaku bahawa "PKM mahu menegakkan satu negara Soviet, ertinya negara yang berasaskan ajaran Marx dan Lenin."
"Ini adalah falsafah politik. Sama juga orang mahu menegakkan Revolusi Perancis. Dia menegakkan satu negara republik. Dia mengangkat senjata dan berperang. Dalam perperangan yang terbentuk sebegitu, membunuh atau kena bunuh, adalah sebahagian daripada kelumrahan!"
Malah, beliau mengambil contoh PKI (Partai Komunis Indonesia) di Indonesia, "pengikut-pengikutnya bukan semuanya Cina, tetapi sebahagian besarnya Indonesia, dan bukan sahaja orang Indonesia, orang yang kuat berpegang kepada ugama Islam!"
Sentimen perkauman
Said Zahari turut memperbetulkan persepsi bahawa PKM hanya dianggotai oleh orang Cina, dan mendakwa ia semata-mata propaganda penjajah British untuk mengatakan hanya Cina menentang Jepun.
"Tetapi apa yang orang tidak tahu, banyak orang tidak tahu, bukan PKM saja yang menentang Jepun. Dan bukan PKM sahaja yang menentang British. PKM ini diertikan PKM yang dianggotai Cina. Padahal di dalam PKM sendiri ada ramai orang anak Melayu. Ada organisasi yang lain yang kecil-kecil yang juga menentang penjajahan, menentang Jepun."
Beliau meneruskan, "Jadi, kalau kita tengok dari segi sejarahnya, memang ramai orang tak tahu, kerana British tidak mahu rakyat tahu bahawa yang menentang Jepun dan menentang British, juga orang Melayu dan rakyat seluruhnya."
Said Zahari menggilap fakta bahawa Rejimen ke-10 dalam PKM kebanyakannya dianggotai orang Melayu, dan bagaimana pemimpin kaum Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD juga menjadi pucuk pimpinan dalam PKM, tetapi Chin Peng lebih ditonjolkan sebagai pemimpin tertinggi PKM untuk menyamakan PKM dengan orang Cina.
Kerana Chin Peng berketurunan Cina
Namun, keadaan ini berterusan setelah tanahair kita merdeka dari penjajahan British. Mungkin inilah yang menyesalkan Said Zahari, apabila Chin Peng kini masih dijadikan ikon kekejaman.
"Chin Peng sendiri anak tanah Melayu... Memang betul, dia anak tanah Melayu. Sebahagian besar PKM anak tanah Melayu. Abdullah CD anak tanah Melayu, Rashid Maidin...Shamsiah Fakeh bukan saja anak Melayu, orang ugama lagi!"
Said Zahari berkata, "tetapi apabila darurat diumumkan, dia jadi satu peperangan antara PKM dan kerajaan. Jadi tidak ada timbul soal kau Melayu, ataupun kau orang Cina dalam PKM...kalau awak baca buku Abdullah CD, berapa ramai orang yang mereka sudah bunuh? Kenapa mereka tidak dituduh seperti Chin Peng? Kenapa Chin Peng saja yangyou pilih... sebagai orang yang kejam?"
"Jawapannya ialah kerana Chin Peng ialah seorang Cina, keturunan etnik Cina. Dan ini yang bahaya untuk Malaysia, dan ini yang buruk untuk Malaysia!" kata Said Zahari.
"Hari ini tidak seharusnya berlaku," sejenak kemudian, Said Zahari meneruskan, "sebab Chin Peng, kalau saya nak melihat Chin Peng...saya kenal Chin Peng. Saya jumpa dengannya dua tiga, empat lima kali. Saya ingat, saya wartawan yang pertama berjumpa Chin Peng di Rundingan Baling, dan seterusnya di Bangkok."
"Chin Peng lebih patriotik!"
"Saya fikir, Chin Peng lebih patriotik daripada ramai orang berpekik-pekik, termasuk orang UMNO dan sebagainya...yang mengakui dirinya seorang yang patriotik," beliau menyambung "Sebab dia tak ada lain yang diperjuangkan. Dia berjuang di Malaysia, memang dia mahu menegakkan komunis soviet republik. Itu satu sistem politik. Dan dia tahu dia tidak boleh menang tetapi dia teruskan perjuangan ini."
Wartawan sempat bertanya satu soalan lagi bagi pihak yang menganggap Chin Peng tidak mempunyai hak untuk pulang ke tanah air, kerana kononnya penganut komunisme tidak mengiktiraf hak asasi dalam perjuangannya.
Dengan tangkas Pak Said membalas, "Apakah kita sekarang pun menerima hak asasi yang sebenarnya? Banyak hak asasi yang dinafikan. Ada pelbagai akta (yang menyekat) kebebasan akhbar, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), hak asasi tidak ada lagi..."
Malah, beliau layak untuk berkata sedemikian, "Saya menjadi mangsa hak asasi ini. Macam mana you mengatakan hak asasi saya dipertahankan? Bukan komunis yang menangkap saya. Bukan komunis yang penjara saya 17 tahun!"
"Orang yang mengaku mempertahankan kebebasan...(yang menangkap dan menahan saya). Jadi, hak asasi ini bergantung kepada siapa yang bercakap mengenainya. Memang kita tidak boleh menafikan di dalam peperangan, di dalam apa-apa persengketaan, perkara-perkara ini boleh berlaku. Daripada keseluruhannya, kita harus adil. Berlaku ketidakada-nya hak asasi di mana-mana juga!"
Said Zahari bukan sahaja ditahan di bawah ISA untuk 17 tahun, tetapi dilarang masuk ke sempadan Tanah Malaya lantaran permogokan yang dipimpinnya untuk menentang pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO pada tahun 1961. Larangan tersebut hanya dibatalkan hampir 30 tahun kemudian, oleh bekas PM Mahathir Mohamad pada tahun 1989.

Bagaimana "seandainya" apa yang tercapai dalam Perjanjian Damai Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, disempurnakan 34 tahun lebih awal, iaitu dalam Rundingan Baling pada tahun 1955?
Sememangnya, adalah terlalu lewat untuk membuat sebarang "andaian" dalam sejarah. Apa yang berlaku telah berlaku dan berlalu. Namun, sejarah tidak harus tinggal hanya sebagai "bahasa" pemenang, atau pemegang kuasa, seandainya sejarah itu ditelaah untuk mengambil iktibar daripadanya.
Selama ini, Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM memikul beban sejarah ini secara bersendirian, atas tuduhan "enggan menamatkan perjuangan bersenjatanya". Untuk mereka yang membaca memoir Chin Peng, My Side of History, sikap provokasi Ketua Menteri Singapura pada ketika itu, David Marshall dalam Rundingan Baling, mungkin berperanan menggagalkan rundingan tersebut.
Namun, sebagai wartawan yang membuat liputan di tempat kejadian Rundingan Baling pada usia 27 tahun ketika itu, Said Zahari menganjurkan perspektif tersendirinya untuk menafsir peristiwa sejarah ini. Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini mendedahkan pengalaman yang terpendam dalam ingatan beliau di memoir dirinya, Meniti Lautan Bergelora.
"I never wanted it to be a success," Tunku
Dalam bab ke-44, Said Zahari mencatatkan pengalaman dirinya ketika membuat liputan di Baling sebagai wartawan Utusan Melayu. Beliau yang cuba mendapatkan berita esklusif pada ketika itu, dibenarkan untuk mengajukan satu soalan kepada Tunku Abdul Rahman, sebelum sidang akhbar bermula.
Satu-satunya soalan tersebut berbunyi, "Adakah Tunku menyesal dengan kegagalan rundingan ini?" Tanpa diduga, Said Zahari dibalas dengan jawapan, "No, I am not. I never wanted it to be a success." (Tidak, saya tidak (menyesal). Saya tidak pernah mahukan ia berjaya.)"
Jawapan ringkas dari Tunku ini bagaimanapun tidak disiarkan, atas "nasihat" Syed Jaafar Albar, anggota Penerangan UMNO yang ketika itu berada di sisi Tunku.
Dalam wawancara bersama MerdekaReview kelmarin, Said Zahari kekal dengan pendirian beliau, bahawa Tunku tidak berniat untuk menyelesaikan perkara ini dengan Chin Peng, kerana untuk Tunku, soal Chin Peng adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh British, dan bukannya kerajaan Tanah Malaya.
"Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ"
"Padahal Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ," kata Said Zahari, "Apa yang terdapat dalam perjanjian 1989 sebenarnya could have been achieved in 1955. (Rundingan Baling?) Yes! The same thing, tapi Tunku tak mahu..sebab tu dia kata, 'memang aku tak mahu selesaikan'. This is the proof(Ini buktinya)."
Namun, apa yang bermain dalam otak Tunku, seandainya beliau ingin bertemu dengan Chin Peng, tetapi enggan menyelesaikan masalah dengan pemimpin komunis ini? Tokoh wartawan ini menganalisa Rundingan Baling dari perspektif percaturan politik, yang memenangkan kedua-dua pihak Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng.
"Tunku mahu membuktikan bahawa Chin Peng terpaksa berjumpa dengan saya, Tunku Abdul Rahman (gambar kanan) pada waktu itu, bukan British. Dan Chin Peng mahu membuktikan Tunku Abdul Rahman sanggup berjumpa dengannya walaupun dia ketua PKM," jelasnya.
"Jadi itu, you win one, i win one-lah (Kamu menang satu, saya menang satu)." Said Zahari menyimpulkan politik "saling guna-mempergunakan" antara kedua-dua orang tokoh ini.
Wartawan menyusul dengan soalan "apa manfaatnya pertemuan ini kepada pihak Tunku, jikalau bukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan Chin Peng?"
"Publisiti," Said Zahari menjelaskan selanjutnya, "Sebab dia (Tunku) pemimpin yang bukan sahaja diterima rakyat, tetapi juga pemimpin yang diterima oleh Chin Peng. Chin Peng sendiri cakap dalam perundingan itu, 'saya jumpa dengan Tunku sebab saya akui Tunku adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat'. That is good enough.(Itu sudah memadai.)"
Pertemuan tidak direstui British
Tetapi, bukankah Tunku akan mencipta sejarah yang lebih besar, seandainya berjaya menyelesaikan masalah dengan Chin Peng?
"Sebenarnya, Tunku Abdul Rahman punya pertemuan dengan Chin Peng tidak direstui oleh British pada waktu itu, tahun 1955. British memang tidak mahu Tunku jumpa Chin Peng. Sebab British takut, (dengan) menemui Chin Peng, Tunku mengakui wujudnya PKM. Dan pada Tunku, menemui Chin Peng bererti Chin Peng mesti berunding dengan Tunku, bukannya British," ulasnya.
"Tunku menggunakan Chin Peng, untuk tunjuk kat (kepada) British, I dare to meet Chin Peng. British tak berani kasik (bagi) Tunku jumpa Chin Peng. Dia takut Chin Peng politik lebih, lebih hebat, lebihmanipulative... sedangkan Tunku seorang gentleman, dan politiknya lebih konservatif," kata Said Zahari.
Malah, Said Zahari mempercayai bahawa British sebenarnya mengenakan syarat untuk pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng. "Sebab British sudah warning, ini walaupun tak ada bukti tapi saya percaya, (British berkata kepada Tunku) 'you cannot solve the problem, you don't make any agreement with Chin Peng!"
Seandai situasinya begitu, mengapa pula British gagal menghalang pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng?
Kembali kepada percaturan politik Tunku, Said Zahari menganalisa, "Pada Tunku, penyelesaian dengan Chin Peng seharusnya British punya isu. Dia (Tunku) sedang memperjuangkan kemerdekaan. Dia menggunakan Chin Peng. (Tunku mungkin menyampaikan mesej kepada British) I can cooperate with Chin Peng. We can fight you if you don't give me."
Tunku or Chin Peng?
"Saya percaya Tunku mesti berkata sedemikian dengan British di London. You want me or you want Chin Peng, or you want Chin Peng and me?" kata Said Zahari.
Beliau meneruskan analisanya, "You give to me or you give it to Chin Peng. It is up to you. But if you give it to me, then you selamat sikit. I think on this ground alone, British terpaksa (memberi kemerdekaan kepada Tunku)."
Pengamatan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini merumuskan, walaupun kemerdekaan tercapai seolah-olah perjuangan daripada pihak Tunku, tetapi tekanan sebenarnya datang dari pihak PKM.
"Disebabkan perjuangan bersenjata?" Soalan wartawan dibalas dengan tangkas dan tegas, "Yes!" sebelum Pak Said (gambar kiri) meneruskan, "Bristish can't afford to meneruskan perjuangan itu,too costly."
Demikianlah pengamatan dan analisa dari kaca mata seorang tokoh wartawan, Said Zahari mengenai sejarah kemerdekaan tanahair dan perjuangan PKM. Maka jelaslah mengapa bekas Ketua Pengarang ini mengeluarkan kenyataan bahawa Chin Peng adalah bumiputera Malaya, dan menyaran agar "perikemanusiaan" harus mengambil kira pihak PKM yang turut menyumbang dalam perjuangan kemerdekaan.

(dipetik dari laman blog http://wasiatpejuang.blogspot.com/search/label/WAWANCARA)